
KAMPAR: Hari Guru yang disambut setiap 16 Mei, pada tahun ini telah menjadi mangsa sikap politik mundur diamalkan Kerajaan Madani pimpinan Dato’ Seri Anwar Ibrahim.
Pesuruhjaya PAS Negeri Perak, Razman Zakaria berkata, ia berikutan kenyataan berbentuk arahan yang tular menerusi WhatsApp melarang menerima kedatangan wakil rakyat bukan kerajaan di peringkat Persekutuan.
Bidasnya, arahan tersebut adalah tindakan politik yang melangkah 40 tahun ke belakang, sedangkan telah sedia dimaklumi bahawa sambutan tersebut diraikan oleh pelbagai pihak kerana menghargai jasa pendidik.
“Kerana kita mahu meraikan jasa guru. Kita yang berada pada hari inipun kerana guru. Tanpa guru kita tak kenal Allah Taala, tanpa Guru kita tak kenal diri sendiri,” katanya yang juga ADUN Gunung Semanggol.
Menurut beliau, institusi pendidikan sebagai pelaksana pihak kerajaan seharusnya mempunyai integrasi dengan wakil-wakil rakyat dan menerima pandangan positif sebagai semak imbang bagi memajukan negara.
“Kalau perkara ini (arahan tersebut) benar, maka amat malanglah kerana di era politik (semakin maju) ini, kita membawa politik Malaysia ini ke belakang 40 tahun.
“Kita wakil rakyat sebagai wakil kepada kerajaan yang tidak duduk dalam pentadbiran kerajaan yang boleh menyemak imbang untuk memajukan lagi negara kita ini dengan memberi pandangan daripada sudut yang berbeza.
“Jadi sekiranya perkara ini benar Saya rasa amat malang dan rakyat boleh menilai dan kita mengembalikan politik negara kita ini ke arah zaman 40-an yang tidak akan bawa ke mana,” bidasnya.
Sementara itu beliau tetap meneruskan tradisi pemberian kek dengan penyerahan dilakukan di pejabatnya di mana semua sekolah yang berada dalam DUN Gunung Semanggol menerima serahan tersebut.
“Pagi tadi memang menjadi rutin kita biasa (sebelum itu) kita tempah kek. Tiap-tiap tahun kita akan hantar kepada pejabat ataupun guru-guru di seluruh sekolah khususnya di Semanggol,” ujarnya di Hospital Kampar, di sini.
Beliau berkata demikian selepas mengunjungi keluarga yang terkorban dalam kemalangan maut pada tragedi berlaku di Kilometer 310.2 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS), semalam.
Menurut maklumat, kemalangan tersebut berlaku apabila kereta yang mereka naiki melanggar belakang sebuah lori tanah.
Mangsa yang maut dikenali Muhammad Azib Nasaruddin, 23, bersama dua adiknya, Siti Nur Aminah, 8, Ahmad Uwais Qorni, 5 dan ibunya Azriyani Abdul Latif, 45.
Turut cedera parah dalam nahas itu ialah adik mangsa, Muhammad Fawwaz, 7 yang kemudiannya turut disahkan meninggal dunia di hospital. – HARAKAHDAILY 16/5/2023











