
TINDAK tanduk kerajaan gabungan PH-BN yang diketuai Dato’ Seri Anwar Ibrahim ketika ini hanya mewajahkan PMX sebagai ‘sesumpah politik’ yang boleh berubah bila-bila masa termasuk menggadaikan prinsip serta janji yang dilaungkan sebelum ini semata-mata bagi memenuhi kerakusan nafsu untuk terus berkuasa.
Sikap “cakap tak serupa bikin” inilah yang menjadikan gelombang penolakan rakyat kepada PMX terus kuat dan membesar apabila semakin ramai yang tersedar dengan penipuan demi penipuan oleh sosok tubuh yang dahulunya dijulang sebagai hero negara.
Rakyat tidak lupa kepada janji manis untuk menurunkan harga minyak dalam masa 24 jam selepas menjadi PM yang kali terakhir dilaungkan dengan penuh angkuh ketika Kongres Nasional PKR pada 17 Julai 2022 yang lalu.
Namun sehingga ke hari ini janji manis itu terus tinggal janji. Lebih perit lagi, PMX pada 6 Mac 2023 yang lalu menyatakan bahawa kerajaan tiada hasrat untuk menurunkan had harga siling petrol di negara ini.
PMX juga pada 22 Disember 2022 menegaskan bahawa kerajaan akan menghentikan penganjuran majlis besar-besaran bagi mengelakkan pembaziran wang kerajaan.
Namun Syawal tahun ini ‘dirayakan’ PMX dengan satu lagi penipuan apabila menganjurkan bukan sekadar satu bahkan digandakan kepada 6 majlis rumah terbuka kerajaan di 6 negeri berbeza. Ia jelas menyanggahi prinsip penjimatan wang kerajaan yang dilaungkan PMX beberapa bulan yang lalu.
Bukan sekadar itu, rakyat juga masih ingat laungan prinsip PMX yang tegas menolak nepotisme dan kronisme di dalam pentadbiran.
Namun prinsip tersebut tergadai begitu sahaja apabila PMX melantik anaknya sendiri sebagai penasihat Perdana Menteri selain lantikan politik bertimbun-timbun yang telah dibuat oleh kerajaan pada hari ini.
Semua tindak-tanduk ini hanya menambah kebencian rakyat kepada PMX. Penipuan yang jelas, terang lagi nyata yang berterusan ini adalah satu penghinaan kepada rakyat Malaysia lebih-lebih lagi Malaysia adalah sebuah negara dengan masyarakat yang sangat menekankan aspek menepati janji. Bak kata pepatah “kerbau dipegang pada talinya, manusia dipegang pada janjinya”.
Mempunyai seorang Perdana Menteri yang terus menerus tanpa gagal memungkiri janji dan prinsip yang dilaungkan sebelum ini bukanlah perkara yang baik untuk masa depan negara dan rakyat. Kita tidak mahu terus menerus ditipu untuk 5 tahun akan datang.
Justeru, Parti Islam Se-Malaysia (PAS) mengajak seluruh rakyat Malaysia untuk bangkit bersama menolak gabungan PH dan BN terutama sekali sosok tubuh PMX, ‘sesumpah politik’ yang hanya tahu menipu rakyat.
Kita mulakan dengan sama-sama kita menangkan PERIKATAN NASIONAL dalam PRN 6 negeri yang akan datang.
YB Ir. Ts. HAJI KHAIRIL NIZAM KHIRUDIN
Ketua Penerangan PAS Pusat
Ahli Parlimen Jerantut
14 Mei 2023 – HARAKAHDAILY 14/5/2023




















