
KOTA BHARU: Kerajaan negeri mengambil tindakan segera menambah fire breaker bagi mengelakkan kebakaran di tapak pelupusan sampah di Beris Lalang, Bachok terus merebak.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan, Dato’ Dr Izani Husin berkata, kawasan seluas empat hektar itu bagaimanapun terkawal dan tidak menjejaskan operasi.
“Kebakaran yang berlaku sebenarnya bermula di tanah gambut bersebelahan tapak berkenaan dan bukan bermula di tapak pelupusan sampah.
“Kebakaran berkenaan berada dalam kawalan kerana kita telah membina segera tambahan parit (fire breaker) bagi mengawal kebakaran daripada terus merebak,” katanya di sini semalam.
Sebelum ini media melaporkan kebakaran kawasan kebun di tanah gambut di Beris Lalang bermula 25 April lalu menyebabkan kawasan kampung berdekatan dilanda jerebu asap.
Kebakaran kawasan kebun yang dikatakan tidak dipadamkan sepenuhnya merebak ke kawasan pelupusan sampah yang menyebabkan berlaku pencemaran bau berhampiran kawasan kampung. – HARAKAHDAILY 11/5/2023











