Gol awal Inter musnahkan AC Milan

Edin Dzeko (kanan), menjaringkan gol pertama Inter Milan
- Advertisement -

Inter Milan menjaringkan dua gol awal untuk memastikan kemenangan selesa 2-0 ke atas AC Milan dalam perlawanan separuh akhir pertama Liga Juara-Juara awal pagi ini dan kekal di landasan untuk menjadi pasukan Itali pertama memenangi piala itu sejak kali terakhir pada 2010.

Gol seawal minit ke-8 dan ke-11 melalui rembatan voli jarak dekat Edin Dzeko dan Henrikh Mkhitaryan menggandakan jaringan hasil hantaran lintang Federico Dimarco membolehkan Inter mengejutkan pencabar setempat San Siro.

- Advertisement -

Milan yang terkejut dengan dua gol awal menggandakan usaha pada babak kedua, namun jarang mengancam dan kini berdepan tugas berat untuk memenangi Piala Eropah kelapan mereka.

“Sejak minit pertama, kami benar-benar mahu menang. Tetapi peperangan belum berakhir. Satu lagi pertempuran hebat menanti kita,” kata pemain terbaik perlawanan, Mkhitaryan.

Penyerang Bosnia, Dzeko, 37, menjadi pemain kedua tertua menjaringkan gol dalam separuh akhir Liga Juara-Juara selepas pemain Manchester United, Ryan Giggs. Dia menjaringkan dua gol dalam kemenangan 6-0 Inter di Verona, bulan ini untuk menamatkan kemarau gol hampir empat bulan.

“Kadang-kadang anda berada dalam detik sukar apabila bola tidak mahu masuk. Kesabaran dan kerja keras sentiasa membuahkan hasil. Saya tenang kerana mengetahui gol akan datang seperti biasa,” kata Dzeko.

Juara Eropah tiga kali, Inter membuat permulaan pantas apabila Hakan Calhanoglu melakukan sepakan sudut, tepat kepada Dzeko dan penyerang veteran Bosnia itu dengan mahir merembat bola ke sudut kanan atas pintu gol.

Inter bersemangat menghadapi Milan selepas empat kemenangan berturut-turut di Serie A, menggandakan pendahuluan menerusi Mkhitaryan selepas Dimarco memberinya hantaran cemerlang dan pemain Armenia itu memasuki kotak penalti Milan untuk menghasilkan jaringan jarak dekat.

Calhanoglu hampir menambah gol ketiga apabila rembatan padu jarak jauhnya mengenai bahagian dalam tiang, manakala cubaan Mkhitaryan dinafikan penjaga gol Milan, Mike Maignan.

Romelu Lukaku cuba melepasi tiga pemain AC Milan

Milan tanpa penyerang Rafael Leao yang cedera, terkejut dan keadaan mungkin menjadi lebih buruk untuk tuan rumah apabila Lautaro Martinez terjatuh dalam kotak penalti sejurus selepas setengah jam.

Pengadil menunjukkan isyarat penalti, tetapi keputusannya dibatalkan selepas menyemak VAR.

Milan lebih agresif menyerang selepas rehat, tetapi rembatan Brahim Diaz dan Junior Messias tersasar, manakala Sandro Tonali terkena tiang.

Pemain gantian Milan, Tommaso Pobega juga mempunyai peluang untuk menjaringkan gol, tetapi penjaga gol Inter, Andre Onana menghalang percubaan rendahnya dari tepi kotak penalti.

“Mereka bermain sepenuh hati, meliputi setiap bahagian padang. Kami gembira, tetapi kami masih belum menuju penamat,” kata jurulatih Inter, Simone Inzaghi.

Ini adalah kali pertama Inter menewaskan jiran mereka dalam saingan kalah mati Eropah dengan Milan mara dari kedua-dua pertemuan sebelum ini, terakhir pada suku akhir Liga Juara-Juara 2004-05. – REUTERS

- Advertisement -