
DUBAI: Emiriah Arab Bersatu (UAE) menarik diri daripada perjanjian dengan Airbus untuk mendapatkan sedozen helikopter pelbagai fungsi H225M Caracal pada harga kira-kira 800 juta Euro (AS$880.6 juta).
Laporan majalah Breaking Defense yang berpangkalan di Washington, memetik Muammar Abdulla Abushehab, seorang pegawai di pihak berkuasa pemerolehan pertahanan dan keselamatan UAE, sebagai berkata keputusan itu bukan politik tetapi berdasarkan faktor kewangan dan teknikal.
Ini termasuk kos kitaran hayat yang tinggi, kesukaran penyesuaian dengan keperluan misi dan cadangan teknikal yang kompleks, pegawai itu dipetik sebagai berkata dalam temu bual pada Isnin lalu.
Pejabat media kerajaan UAE tidak menjawab permintaan untuk mengulas perkara ini. Airbus Helicopter juga menolak memberi ulasan.
“Kami telah berkhidmat dengan angkatan tentera UAE selama lebih 40 tahun. Kami berbangga dengan hubungan kami yang juga melayani hubungan dua hala antara Perancis dan UAE,” kata jurucakap Airbus.
“Kami tidak mengulas mengenai perbincangan dengan pelanggan.”
H225M ialah pengangkut taktikal jarak jauh yang sama dengan Super Puma VIP, helikopter luar pesisir yang juga digunakan untuk operasi mencari dan menyelamat.
Tempahan helikopter itu bersama kontrak untuk 80 jet pejuang Rafale, dibuat ketika Presiden Perancis, Emmanuel Macron melawat Abu Dhabi pada Disember 2021, dilihat sebagai rangsangan untuk kilang pemasangan di selatan Perancis, ketika permintaan terhadap minyak dan gas yang lebih rendah. – REUTERS











