
KOTA BHARU: Kerajaan negeri akan bekerjasama dengan Jabatan Kesihatan Negeri bagi memberi kesedaran kepada masyarakat terutama ibu bapa mengenai autisme dalam kalangan kanak-kanak.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dato’ Dr Izani Husin berkata, bantuan akan diberi bagi membantu menjayakan sebarang program serta kempen kesedaran.
Katanya, kerjasama ibu bapa amat penting memandangkan Jabatan Kesihatan
mempunyai kepakaran untuk memberi kesedaran mengenai autisme.
“Kita tidak ada kepakaran untuk diagnosis penyakit berkaitan autisme, jadi kita perlu koloborasi bersama Jabatan Kesihatan,” katanya pada sidang media sempena Sambutan Hari Autisme Sedunia Peringkat Negeri Kelantan 2023 di Hotel H Elite Tunjong, di sini, hari ini.
Dr Izani juga berkata, melalui kerjasama yang terjalin itu kerajaan negeri akan menanggung kos demi kesihatan rakyat selain untuk mengelak produktiviti kerja menurun.
Menurutnya juga tahap kesedaran ibu bapa terhadap autisme sekarang sudah meningkat berbanding sebelum ini.
“Kesedaran dalam kalangan ibu bapa adalah positif dengan membawa anak-anak melakukan pemeriksaan bagi diagnosis autisme,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 10/5/2023











