Air: Jangan timbulkan persepsi negatif kepada negeri

Para pengunjung rumah terbuka Aidilfitri tidak melepaskan peluang mengabadikan momen bersama Sanusi.
- Advertisement -

ALOR SETAR: Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor mendakwa, masalah air yang dihadapi rakyat kini mewarisi peninggalan kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang menangguh pembinaan loji rawatan air (LRA).

- Advertisement -

Kata beliau, pemimpin PH ketika menangguh pembinaan lima LRA yang telah dicadangkan atas alasan membuat kajian harga tetapi selepas dibuat kajian, konsultan tetap mengeluarkan penilaian harga yang sama.

“Ketika mereka perintah pun tak jadi apa. Mereka tangguh pelaksanaan LRA selama dua tahun kononnya nak buat kajian harga tetapi selepas kaji, konsultan tetap keluarkan penilaian harga yang sama,” maklum beliau pada sidang media sempena Rumah Terbuka Menteri Besar di Seri Mentaloon, hari ini.

Sebelum ini pimpinan PH mendakwa kononnya kerajaan negeri gagal menyelesaikan masalah air malah projek menaiktaraf lima LRA tergendala serta lewat 10 peratus daripada jangkaan asal.

Kata Sanusi, pihaknya mendapat taklimat berhubungan pembinaan LRA tersebut setiap minggu oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) dan mendapati pembangunannya berjalan seperti yang dirancang.

“Yang mendakwa tergendala dan kononnya lewat 10 peratus itu dapat taklimat dari siapa? Jangan redah sahaja semata-mata nak timbulkan persepsi buruk dan negatif terhadap kerajaan negeri,” bidas beliau.

Sedangkan tambahnya, kerajaan negeri sedaya upaya cuba menyelesaikan isu air dengan secepat mungkin namun disebabkan negara berhadapan dengan Covid-19 selama dua tahun, banyak program terpaksa dihentikan sementara termasuk bahan binaan yang bukan barangan keperluan.

Sementara berhubung cadangan pembinaan mini loji air di kawasan kritikal sementara menunggu LRA siap sepenuhnya, beliau menyifatkan cadangan tersebut tidak praktikal.

“Kos bina mini loji air RM13 juta, memang ada pihak tampil kemukakan cadangan ini namun saya tolak. Bila LRA siap kelak, mana nak letak mini loji pula? Kos RM13 juta bukan murah, boleh buat benda lain.

“Kita sudah ada LRA yang lebih besar untuk tangani krisis bekalan air, tak perlukan mini loji cuma perlu kepada mini kesabaran, sabar sat.

“Saya tahu lama dah sabar masa zaman PH dua tahun. Zaman saya sabar tiga tahun cuma kehadiran Covid-19 menyebabkan dua tahun terbiar, hanya setahun saya dapat buat kerja,” jelas beliau lagi. – HARAKAHDAILY 27/4/2023

- Advertisement -