
PAS mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada umat Islam di seluruh negara dengan harapan sambutan tahun ini akan dilalui dalam keadaan penuh kesyukuran, selamat dan gembira bersama kaum keluarga dan rakan taulan berbanding beberapa tahun lepas sewaktu kita berdepan dengan pelbagai kesukaran susulan wabak Covid-19.
Walaupun keadaan hari ini adalah jauh lebih baik, namun kita tidak harus memandang enteng dan bersikap lepas kendali terhadap keperluan memelihara amalan selamat dan sihat bagi menghindari jangkitan baharu.
Ini susulan laporan berlakunya lonjakan jangkitan kes di beberapa negeri baru-baru ini, terutamanya dengan kehadiran subvarian Omicron XBB1.5 yang lebih mudah tersebar apabila pemakaian pelitup muka tidak lagi diwajibkan.
Sikap berhati-hati yang berterusan adalah perlu dan penting kerana pergerakan manusia yang lebih luas dan himpunan keluarga pada masa perayaan menjadi antara faktor utama yang diketahui menyumbang kepada peningkatan jangkitan.
Dalam pada itu, sewaktu meraikan ketibaan Syawal serta kejayaan melepasi ujian dan cabaran berpuasa sepanjang Ramadan, kita juga tidak harus sama sekali melupakan solidariti dengan anggota masyarakat yang daif, teraniaya serta kurang bernasib baik yang menjadi antara tujuan utama ibadah wajib mahupun sunat pada bulan yang diberkati itu.
Kepekaan, kepedulian, sikap tawaduk dan akhlak mulia yang terbina sepanjang Ramadan harus kekal bersama kita pada bulan-bulan berikutnya dan tidak digantikan oleh kerakusan nafsu, budaya pesta serta kepentingan diri yang melampaui batas dan berlawanan sama sekali dengan idea dan matlamat bulan ibadah dan sedekah yang baru kita tempuhi bersama itu.
Selamat Hari Raya Aidilfitri dan selamat bercuti bersama orang tersayang. Semoga semua ibadah dan amalan baik kita diterima dan diberi ganjaran yang lebih baik oleh Allah SWT.
Minal Aidin wal Faizin. Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar walillahilhamd.
DATUK SERI TAKIYUDDIN HASSAN
Setiausaha Agung PAS
Bertarikh: 21 April 2023 – HARAKAHDAILY 21/4/2023











