
KEPALA BATAS: Harapan tinggi Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat Dato’ Seri Muhammad Sanusi menyuntik semangat PAS Pulau Pinang bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.
Timbalan Pesuruhjaya PAS negeri, Yusni Mat Piah berkata, keyakinan PERIKATAN NASIONAL (PN) mampu menawan 15 kerusi DUN pada PRN15 menjadi penyuntik semangat semua pihak.
“Kesemua hadirin terutamanya para amilin begitu kagum apabila Menteri Besar Kedah dengan bersahaja mengatakan bahawa kita yakin dapat menawan Pulau Pinang.
“Begitulah terserlahnya aura Datuk Seri Sannusi yang dikagumi semua rakyat Malaysia. InsyaAllah, PAS Pulau Pinang bersama-sama PN bersedia untuk menawan Pulau Pinang,” katanya pada kenyataan di laman sosialnya.
Sebelum itu Sanusi dan pemimpin PAS Pulau Pinang menghadari Majlis Berbuka di Dewan Al Ansar, Masjid Muhajirin Seberang Jaya.
Seramai 300 tetamu hadir termasuk Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang Fauzi Mohamad, wakil-wakil rakyat, wakil Bersatu, NGO, Jabatan Amal Pulau Pinang dan pelajar Akademi Tahfiz Al Qur’an AsSyaamil (AQSA) Alma, Bukit Mertajam.
Majlis itu turut diserikan dengan persembahan qasidah oleh pelajar AQSA.
Sementara itu pada majlis lain iftar perdana PAS Pulau Pinang berjaya mengumpulkan sumbangan hampir RM100,000 hasil jualan meja bagi Dana Pembangunan Komplek PAS Pulau Pinang.
Program itu diadakan di Darul Hadis, Pokok Machang, Tasek Gelugor malam semalam.
Sumbangan diterima daripada badan-badan korporat, ahli-ahli Parlimen PAS serta pimpinan dari Perlis, Kedah, Perak, Terengganu dan Johor.
Turut hadir Pesuruhjaya PAS Perak Razman Zakaria dan Pesurunjaya PAS Johor Abdullah Husin.
Sumbangan infaq itu akan digunakan untuk membiayai pembangunan kompleks PAS Negeri Pulau Pinang fasa 1 yang bernilai RM2.4 juta. – HARAKAHDAILY 18/4/2023




















