Nasib asnaf dapat perhatian PAS Lahad Datu

- Advertisement -

LAHAD DATU: “Kami tidak pernah menerima sumbangan seperti ini daripada mana-mana pihak,” kata seorang penerima asnaf yang menerima sumbangan menerusi program Semarak Kasih Ramadan PAS Lahad Datu.

Norsyakinah Nurdin, 18, berkata ini adalah kali pertama dia dan adik beradiknya menerima sumbangan menjelang Aidilfitri.

- Advertisement -

“Alhamdullilah, pemberian ini dapat meringankan beban kami untuk membuat persiapan hari raya nanti,” katanya.

Walaupun Aidilfitri disambut tanpa ibu bapa, katanya mereka tetap bersyukur dengan apa yang ada.

“Kami sangat berterima kasih kepada makcik saudara yang sudi menjaga kami seperti anak sendiri setelah ketiadaan ibu bapa kami,” kata anak ketiga daripada lima beradik.

Norsyakinah ditemui ketika program Semarak Kasih Ramadan PAS Lahad Datu yang telah berjaya membantu 91 keluarga daripada golongan asnaf sekitar Lahad Datu, termasuk Silabukan, Sepagaya, Segama dan Bandar.

Turut hadir, Ahli Majlis Daerah Lahad Datu, Kanizam Kamis; Ketua Pemuda PAS Lahad Datu, Landari Labobo dan Ketua Dewan Muslimat PAS Lahad Datu, Mazaini Moktar.

Sementara itu, Naib Ketua PAS cawangan Aman Jaya, Siti Azinni, meminta supaya lebih ramai pihak tampil memberi bantuan kepada golongan asnaf, terutama sekitar Lahad Datu.

Menurutnya, tanggungjawab membantu golongan asnaf mahu pun fakir miskin adalah tanggungjawab bersama, terutama saudara sesama islam.

“Atas dasar itulah, PAS mengadakan program Semarak Kasih Ramadan bagi melaksanakan tanggungjawab tersebut,” katanya. – HARAKAHDAILY 18/4/2023

- Advertisement -