
AYER KEROH: Jabatan Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) Negeri Melaka menyantuni para pelajar dan anak-anak guru PASTI daripada kalangan anak yatim dan kurang berkemampuan dengan membelikan mereka baju raya, hari ini.
Menurut Pengarahnya, Ustaz Norfaizal Nordin, sebanyak RM15,000 berjaya dikumpul daripada sumbangan warga PASTI dan orang ramai bagi menampung program ‘Sumbangan Raya untuk Anak Yatim dan Asnaf’ tersebut.
“Untuk program ini seramai 45 orang anak yatim dan 57 asnaf yang terdiri daripada murid PASTI atau anak-anak kepada guru-guru PASTI telah terpilih dari seluruh Melaka untuk diberi sumbangan.
“Tetapi untuk hari ini seramai 91 orang hadir. Yang tidak dapat hadir itu ada yang ada masalah kesihatan atau masalah pengangkutan. Yang itu kita akan susul kemudian dan kita serahkan kemudian,” ujarnya.
Sementara itu Pesuruhjaya PAS Melaka, Tuan Guru Zulkifli Ismail semasa berucap merasmikan program tersebut berkata program seperti itu adalah sesuatu yang sangat dituntut oleh Rasulullah SAW.
“Seperti yang disebut oleh Nabi SAW, dalam satu hadis yang bermaksud ‘barangsiapa yang memastikan makanan dan minuman kepada anak-anak yatim dari kalangan umat Nabi dari kalangan kaum Muslimin sehingga ia membesar dan tidak lagi memerlukan kepada bantuan.
“Ia dibantu daripada kecil sampai dewasa sehingga ia sudah boleh berjalan sendiri, maka Nabi SAW mengatakan wajib orang demikian wajib baginya dimasukkan ke dalam syurga,” ujarnya.
Tuan Guru Zulkifli yang juga Ahli Parlimen Jasin itu turut menzahirkan ucapan tahniah kepada Jabatan PASTI Melaka atas program tersebut yang merupakan program tahunan jabatan itu.
“Justeru itu apa yang dilakukan oleh pihak PASTI adalah merupakan usaha untuk menimbulkan kesedaran yang tinggi dalam masyarakat kita secara berterusan dan mengambil bahagian di dalam melaksanakan perintah Rasulullah SAW.
“Saya berharap anak-anak kita yang ada pada pagi ini bahkan semua anak-anak PASTI kita akan menjadi generasi yang mendukung Islam dan yang akan melindungi dan mempertahankan budaya dan syiar agama serta ajaran Islam sebagaimana yang sepatutnya bagi setiap golongan yang beriman yang bertakwa kepada Allah SWT,” ujarnya.
Turut berucap ialah Ketua Dewan Pemuda PAS negeri, Ustaz Zulhilmi Suboh.
Turut hadir ialah Ahli Parlimen Tangga Batu yang juga merupakan Timbalan Pesuruhjaya PAS negeri, Bakri Jamaluddin, Pengerusi Majlis Guru PASTI negeri, Habibah Yaacob dan Timbalan Yang Dipertua PAS Kawasan Kota Melaka, Azmi Aziz.
Selain pembelian pakaian raya bernilai RM100 setiap seorang, penerima juga menerima duit raya daripada beberapa pihak yang hadir termasuk daripada dua orang wakil rakyat PAS iaitu Tuan Guru Zulkifli dan Bakri Jamaluddin. – HARAKAHDAILY 17/4/2023











