Rakyat diingat berjimat elak bertambah sisa domestik

- Advertisement -

KANGAR: Pada Ramadan tahun lepas kutipan sisa domestik di negara ini meningkat kepada 40,000 tan metrik.

- Advertisement -

Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli berkata, bagi mengelakkan peningkatan secara berterusan rakyat Perlis diingatkan supaya berjimat cermat serta berbelanja secara berhemah.

“Jumlah sisa domestik itu begitu tinggi. Saya berharap rakyat Perlis berjimat cermat ketika membeli, elakkan pembaziran makanan.

“Kita juga hendaklah bersama menjaga kebersihan,” katanya pada Pelancaran World Quran Hour Peringkat Negeri Perlis di Auditorium Perpustakaan Awam negeri di sini, hari ini.

Turut hadir Speaker Dewan Undangan Negeri Perlis Ruselee Eizan; Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri Fakhrul Anwar Ismail dan Pengerusi Jawatankuasa Agama Muhammad Azmir Azizan.

Menteri Besar juga berkata, statistik perkhidmatan perpustakaan pada tahun 2022 menunjukkan sebanyak 4,175 aktiviti dilaksana melibatkan 303,002 peserta dalam aktiviti anjuran Perpustakaan Awam Negeri.

Menurutnya pelbagai aktiviti dianjurkan berupaya menyemarakkan lagi budaya membaca dalam kalangan rakyat.

“Penekanan kepada membudayakan membaca perlu diterap sejak dari kecil lagi sebagai persediaan anak–anak melalui hidup serba mencabar apabila dewasa,” ujarnya.

Perpustakaan Awam Perlis menyediakan 35 Perpustakaan Desa di seluruh negeri itu termasuk Perpustakaan Komuniti UTC, Perpustakaan Bergerak dan Perpustakaan Bestari. – HARAKAHDAILY 13/4/2023

- Advertisement -