
KOTA BHARU: Kelantan berharap Perdana Menteri (PM), Dato’ Seri Anwar Ibrahim meneruskan projek pembangunan yang telah dilulus pentadbiran kerajaan pusat sebelum ini di Kelantan.
Menteri Besar Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob berkata, kunjungan hormatnya ke atas perdana menteri baru-baru ini membincangkan pelbagai perkara terutama memohon kerajaan pusat meneruskan projek yang telah dilulus pentadbiran sebelum ini.
“Pada pertemuan itu kita memohon semua projek yang telah dilulus pentadbiran kerajaan sebelum agak dapat diteruskan.
“Dan Perdana Menteri menjawab insyaAllah. Ia dianggap sebagai jawapan yang baik untuk rakyat Kelantan,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan kuih raya kepada pasukan keselamatan di Kota Darulnaim hari ini.
Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Nazran Muhammad, Speaker Dewan Undangan Negeri Kelantan, Dato’ Abdullah Ya’kub dan anggota-anggota Exco kerajaan negeri.
Pada Selasa lepas Menteri Besar melakukan kunjungan hormat kepada Perdana Menteri di Putrajaya.
Ahmad berkata, perbincangan tersebut diharap dapat memberi sesuatu yang terbaik demi kepentingan rakyat. – HARAKAHDAILY 13/4/2023




















