
Selepas perlawanan dua kelab bola sepak Indonesia yang tahun lalu, berakhir dengan kejadian rempuhan stadium, antara yang terburuk di dunia, perlawanan ulangan semalam dijalankan tanpa kehadiran penonton.
Musuh ketat, Persebaya dan Arema FC kali terakhir bertemu pada Oktober 2022 apabila perlawanan berakhir dengan tragedi yang mengakibatkan 135 orang terbunuh. Ramai yang maut ketika melarikan diri ke pintu keluar selepas polis melepaskan gas pemedih mata ke arah orang ramai, langkah kawalan yang diharamkan oleh badan induk bola sepak dunia, FIFA.
“Perlawanan itu dijalankan tanpa penonton, mengikut permit yang dikeluarkan polis,” kata Persebaya dalam aplikasi media sosial, Instagram kelab itu.
Persebaya yang berada di tempat ketujuh Liga 1 Indonesia, menang 1-0 selepas Muhammad Iqbal menjaringkan gol pada minit ke-79. Arema yang menduduki tangga ke-11 terlepas sepakan penalti pada minit ke-97.
Seorang jurugambar Reuters di dalam stadium berkata, hanya beberapa pegawai media dan kelab serta pengawal keselamatan duduk di bangku simpanan menonton perlawanan itu. Beratus-ratus anggota polis berkawal di luar stadium, sebahagian daripada mereka membawa gas pemedih mata.
Stadium ini terletak berhampiran ibu pejabat pasukan polis Indonesia dan dikelilingi oleh akademi polis.
Bercakap selepas perlawanan, pengurus Arema, Joko Susilo berkata, beberapa pemainnya masih trauma dengan tragedi tahun lalu dan tidak dapat bermain dalam perlawanan itu.
“Kami menyediakan taktik atau sebarang isu teknikal, tetapi secara mental ia sangat sukar,” kata Joko.
Puluhan penyokong Persebaya berkumpul di luar stadium semasa perlawanan itu. Menunggang motosikal, mereka mengiringi bas yang membawa pemain Persebaya keluar dari stadium.
Perlawanan Persebaya-Arema FC sepatutnya berlangsung pada awal Mac lalu, tetapi ditangguhkan oleh polis kerana kebimbangan berterusan terhadap persaingan peminat dan isu kawalan orang ramai. – REUTERS











