
KOTA BAHARU: Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) sedia mempertimbangkan Biasiswa Tengku Anis (BTA) kepada tiga anak seorang armalah di Kampung Baru Nelayan, Tumpat,
Armalah terbabit Noriza Hussain, 38, dirawat di hospital selepas terjatuh di rumahnya beberapa hari lalu. Dan doktor mengesahkan terdapat masalah pada jantung dan paru-parunya.
Kini anak-anak Noriza iaitu Mohd Alif Muhaimin Abdullah, 12, Nor Daniya Arisya, 11, Nor Iwanina Afina, 7, dan Muhammad Fayyad Zakuan, 4, dijaga ibu saudara mereka, Sarinah, 46.
Sarinah tinggal bersama keluar terbabit sejak Noriza berpisah dengan suaminya empat tahun lalu.
Berita gembira itu disampaikan Pegawai Agihan Zakat MAIK Ikhwan Mat Yasin ketika melawat keluarga terbabit baru-baru ini.
Rombongan MAIK turut disertai Pegawai Komunikasi Korporat MAIK Muhamad Firdaus Mat Rahim dan Imam Tua Masjid Ismaili Ustaz Mohd Sidek Mamat.
Mereka turut menyampaikan bantuan zakat sebanyak RM3,000 dan bakul makanan kepada keluarga terbabit untuk membeli kelengkapan Hari Raya Aidilfitri.
MAIK pada kenyataannya memberitahu Biasiswa Tengku Anis dapat membantu tiga anak Noriza bersekolah tanpa perlu bimbang lagi perbelanjaan persekolahan mereka.
“MAIK melaksanakan amanah pembayar zakat dengan menyampaikan harta yang diinfakkan oleh mereka kepada insan yang benar-benar memerlukan,” katanya. – HARAKAHDAILY 12/4/2023











