Kedah nafi hilang banyak tanah rizab Melayu

Dato' Seri Muhammad Sanusi Md Nor
- Advertisement -

ALOR SETAR: Dakwaan Kedah merupakan negeri yang paling banyak hilang tanah rizab Melayu dinafikan Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

- Advertisement -

Beliau berkata, naratif itu sengaja dibuat untuk membina persepsi kononnya Kedah akan mengalami kerugian sekiranya mengekalkan PERIKATAN NASIONAL (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

“Setakat ini Kedah masih mempunyai 700,000 hektar tanah rizab Melayu dan saya akan arahkan Pengarah Tanah dan Galian mengeluarkan peratus tanah rizab Melayu dan keluasan negeri untuk dibuat perbandingan,” kata beliau ketika menyampaikan ucapan sempena Majlis Penghayatan Nurul Al-Quran di Kompleks PAS Kedah, semalam.

Ujarnya lagi, Kedah antara tiga negeri di negara ini selain Kelantan dan Terengganu yang memiliki tanah rizab Melayu terbesar.

Justeru katanya amat menghairankan bagaimana pihak terbabit khususnya kerajaan persekutuan boleh membuat dakwaan seumpama itu sedangkan Kedah merupa negeri yang agak ketat peraturan membabitkan tanah rizab Melayu.

“Pemimpin PH-BN bina naratif di parlimen seolah-olah Kedah kehilangan rizab Melayu sehingga tiada berbaki lagi,” tambah Sanusi.

Dakwaan itu kata beliau mendapat perhatian Tuanku Sultan Kedah dan baginda telah menerima penjelasan daripada Setiusaha Kerajaan Negeri (SUK), Dato’ Norizan Khazali berkenaan hal berkenaan. – HARAKAHDAILY 2/4/2023

- Advertisement -