
ALOR SETAR: Tindakan kerajaan PH-BN terhadap Kedah khususnya Menteri Besar (MB), Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor dianggap bercanggah dengan konsep keadilan yang dilaungkan parti terbabit sebelum ini.
Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Negeri (BBC), Mohd Azam Abdul Samat berkata, agenda ‘balas dendam” terzahir sejak awal pentadbiran kerajaan PH-BN sebaik sahaja menerajui negara selepas Pilihan Raya Umum (PRU) lalu.
Menurutnya menghalang MB Kedah dari terlibat dengan dengan LIMA 2023 di Langkawi merupakan bukti pelanggaran konsep federalisme yang diamalkan negara ini sejak merdeka.
“Sebagai sebuah negeri yang berdaulat, Kedah mempunyai ketua pentadbirannya sendiri. Malah kerajaan negeri sentiasa menjalinkan hubungan baik bersama kerajaan persekutuan sejak ditubuhkan PRU15.
“Amat tidak wajar kerana walaupun LIMA 2023 anjuran kerajaan persekutuan namun diadakan di Langkawi, salah satu daerah di Kedah,” katanya pada satu kenyataan di sini, hari ini.
Azam yang juga Adun Sungai Limau berkara, kelulusan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) dan Kedah Aerotropolis cuba disukarkan oleh kerajaan PH-BN dengan pelbagai alasan.
Sedangkan katanya, kerajaan negeri sudah dua kali mengutus surat rasmi untuk mengadakan pertemuan bersama Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim membincangkan projek terbabit.
“Kerajaan Kedah khasnya MB telah berusaha menjalin hubungan baik dengan kerajaan persekutuan. Malah Sanusi memaklumkan sendiri berkenaan perihal surat rasmi tersebut kepada Perdana Menteri ketika menghadiri Majlis Pelancaran Slogan Malaysia Madani sebelum ini,” kata beliau.
Oleh itu kata beliau BBC menyokong penuh apa jua langkah kerajaan negeri dalam usaha menjalinkan kerjasama bersama kerajaan persekutuan. – HARAKAHDAILY 2/4/2023











