Lepas banyak karbon, tapi dapat anugerah

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Bagaimana projek Tambakan Laut Selatan Pulau Pinang (PSR) menerima anugerah ‘Berlian’ bandar rendah karbon oleh Malaysian Green Technology and Climate Change (MGTC)?

Dr Siti Mastura Muhammad (PN-Kepala Batas) berkata, projek yang kini dikenali projek Pulau Selatan Pulau Pinang (PSI) sebelum ini direkodkan bakal meningkatkan pelepasan karbon sebanyak 3.2 juta tan setahun oleh Majlis Perancang Fizikal Negara.

- Advertisement -

Beliau berkata demikian semasa mengemukakan soalan tambahan pada sesi pertanyaan jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Sementara itu, Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad, berkata penilaian itu dibuat oleh MGTC dan tidak melibatkan kementeriannya.

Katanya, MGTC merupakan sebuah agensi yang membuat penilaian mengenai projek yang dilihat boleh mencapai sesautu matlamat, contoh bandar rendah karbon.

“Berdasarkan proposal yang dihantar, MGTC melihat apakah rancangan yang dibuat oleh penggerak projek untuk mengatasi kesan pengeluaran karbon dalam projek ini,” katanya.

Menurut Nik Nazmi, selepas penolakan PSI pada 2019 disebabkan teguran mengenai pelepasan karbon, penggerak projek telah menghantar empat lagi Laporan Penilaian Kesan Ke Atas Alam Sekitar (EIA) untuk penilaian Jabatan Alam Sekitar (JAS).

Setiap kali EIA dihantar, katanya JAS akan memberi sebab penolakan projek dan berdasarkan pemerhatian, penggerak projek akan menyatakan langkah untuk mengatasi masalah dan sebab penolakan yang dikemukakan JAS.

“Jadi atas sebab itu, saya tidak mahu second guess (pandangan kedua) yang dibuat oleh MGTC. Saya hanya hadir menyampaikan hadiah, tetapi saya yakin perkara ini dalam pertimbangan apabila MGTC mengambil keputusan tersebut,” katanya. – HARAKAHDAILY 8/3/2023

- Advertisement -