
ALHAMDULILLAH selepas selesai berucap membahaskan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat pada sebelah pagi, saya bergegas turun ke Parlimen Pagoh bagi meninjau keadaan banjir yang sedang melanda beberapa kawasan di situ.
Seperti yang kita sedia maklum musibah banjir di Negeri Johor kali ini amat teruk dengan 50,000 mangsa banjir sudah dipindahkan dan ditempatkan di lebih 1,146 Pusat Pemindahan Sementara (PPS).
Kawasan Parlimen saya juga tidak terkecuali dengan 23 PPS dibuka bagi menempatkan kira-kira 4,025 mangsa daripada 1,204 keluarga dari 24 buah kampung.
Saya sempat meninjau keadaan banjir di sini selain menziarahi mangsa-mangsa banjir di PPS. Alhamdulillah segala keperluan asas mangsa banjir Parlimen Pagoh seperti khemah, tilam, selimut, makan minum dan kemudahan rawatan kesihatan disediakan dengan baik.
Saya mengucapkan terima kasih kepada semua agensi bantuan dan penyelamat serta pasukan keselamatan termasuk Skuad Prihatin PERIKATAN NASIONAL yang pantas membantu mangsa apabila banjir mula melanda kawasan Parlimen ini.
Saya menasihatkan semua penduduk yang tinggal di kawasan rendah dan terdedah dengan bencana banjir agar senantiasa berjaga-jaga dan mendengar nasihat serta arahan daripada pihak berkuasa jika diarahkan berpindah.
Seperti yang saya sebut sewaktu berucap di Dewan Rakyat pagi semalam, kerajaan perlu meluluskan segera peruntukan RM300,000 kepada semua Ahli Parlimen yang kawasan mereka dilanda banjir termasuk Ahli Parlimen pembangkang.
Peruntukan ini akan dapat digunakan oleh Ahli-ahli Parlimen terlibat untuk menyalurkan bantuan segera kepada mangsa-mangsa banjir.
Selain itu saya turut mencadangkan agar Kerajaan Pusat menyalurkan peruntukan sebanyak RM100 juta kepada kerajaan negeri Johor bagi membantu mangsa banjir dan membiayai program pemulihan pasca banjir. Saya berharap cadangan ini dapat diberi perhatian dan diluluskan dengan segera.
TAN SRI MUHYIDDIN YASSIN
Pengerusi
PERIKATAN NASIONAL – HARAKAHDAILY 7/3/2023











