Ahli Parlimen, Adun anggotai Jawatankuasa Pengurusan Bencana

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan memutuskan semua Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) menjadi ahli dalam Jawatankuasa Pengurusan Bencana di peringkat daerah, bagi memastikan maklum balas dan syor wakil rakyat dapat disuarakan.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali, berkata arahan sudah dikeluarkan berhubung perkara ini.

- Advertisement -

“Kita akan pastikan arahan ini disusul supaya kerajaan semua negeri dapat sama-sama berlapang dada menerima wakil rakyat kita untuk sama-sama membantu di peringkat pengurusan bencana.

“Arahan ini meliputi semua Ahli Parlimen dan Adun, termasuk pembangkang,” katanya pada sesi penggulungan usul tergempar mengenai bencana banjir di Dewan Rakyat, hari ini.

Sementara itu, katanya Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak pernah menolak atau mengurangkan senarai penerima Bantuan Wang Ihsan (BWI) bagi bencana banjir yang diperakukan negeri dan daerah.

Armizan berkata, sebaik saja senarai penerima BWI diperoleh dari negeri, NADMA akan segera menyalurkan bantuan berkenaan selewat-lewatnya dalam dalam tempoh seminggu kepada agensi negeri untuk diserahkan kepada rakyat.

“Dari segi Prosedur Operasi Standard (SOP), kita tidak mempunyai kuasa dan tidak boleh ambil pendekatan menyemak serta mengurangkan senarai yang sudah diperakui oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana peringkat negeri kerana kebertanggungjawaban kepada daerah dan negeri yang mengetahui mangsa yang terbabit dalam bencana banjir,” katanya. – HARAKAHDAILY 7/3/2023

- Advertisement -