
KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sentiasa memberi perhatian terhadap isu kekosongan guru di sekolah kementerian seluruh negara.
Bagi menangani perkara itu, KPM telah melaksanakan beberapa pendekatan seperti menubuhkan Jawatankuasa Pengambilan dan Penempatan Guru KPM.
“Jawatankuasa ini berperanan mengenal pasti perubahan yang berlaku dalam dasar, kurikulum, program dan enrolmen yang memberi implikasi kepada keperluan guru, seterusnya memastikan keseimbangan dalam pengambilan serta penempatan guru sekolah KPM,” kata KPM dalam jawapan berttulis kepada soalan Zakri Hassan [PN-Kangar] di Dewan Rakyat, semalam.
Dalam soalannya, Zakri minta Menteri Pendidikan menyatakan bagaimana Kementerian Pendidikan akan mengambil langkah-langkah mengatasi masalah kekurangan guru kerana maklumat terkini menunjukkan guru gemar pencen lebih awal akibat bebanan kerja.
Di samping itu, KPM akan melaksanakan pengambilan berterusan dari semasa ke semasa tertakluk kepada kekosongan di sekolah-sekolah, melaksanakan urusan pengambilan guru secara berterusan dari semasa ke semasa tertakluk kepada kekosongan jawatan dan keperluan opsyen mata pelajaran.
“Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, KPM telah melaksanakan pengambilan seramai 22,327 guru pada tahun 2021 dan 2022.
“KPM komited untuk terus memastikan keperluan guru di seluruh negara dipenuhi bagi memastikan pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran dapat dilaksanakan dengan berkesan,” ujarnya KPM lagi. – HARAKAHDAILY 7/3/2023











