Terapkan elemen patriotisme kepada pelajar

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Semangat patriotisme dan isu buli siber dalam kalangan pelajar mendapat tumpuan utama Dato’ Siti Zailah Mohd Yusoff (PN-Rantau Panjang) ketika bertanya soalan tambahan pada sesi pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat.

Beliau meminta Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menyatakan sama ada wujud perancangan untuk mempunyai silibus bagi melahirkan semangat patriotisme dalam kalangan pelajar-pelajar dilaksanakan di peringkat sistem pendidikan negara.

- Advertisement -

Katanya, ini bertujuan bagi melahirkan anak-anak muda yang celik politik sesuai dengan pelaksanaan Undi 18.

“Apakah kerjasama atau modul yang dilaksanakan KPM untuk menangani isu gejala siber buli yang melibatkan kanak-kanak,” katanya, hari ini.

“Ramai yang terleka dengan game dan sebagainya, jadi kesan cukup besar. Begitu juga banyak filem tidak berkualiti yang dilayarkan melalui internet yang juga menjejaskan keperibadian anak-anak kita. Jadi, sejauh mana perkara ini ditangani oleh KPM,” katanya.

Timbalan Menteri Pendidikan, Lim Hui Ying, ketika memberikan jawapan berkata, KPM tidak bercadang untuk mewujudkan satu silibus baharu mengenai patriotisme.

Menurutnya, ini kerana KPM telah melaksanakan pelbagai usaha memberi pendidikan awal mengenai sistem demokrasi negara dan meningkatkan kesedaran sebagai persediaan menjadi pengundi dalam kalangan pelajar.

“Dari segi filem, kami akan sentiasa mengadakan program yang bersifat pencegahan bagi memastikan jati diri pelajar sentiasa kukuh supaya mereka tidak terpengaruh dengan gejala negatif, terutama dari tayangan filem tidak berkualiti,” katanya. – HARAKAHDAILY 6/3/2023

- Advertisement -