Tangani isu murid bekeperluan pendidikan khas

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Masalah peningkatan limpahan Murid Bekeperluan Pendidikan Khas (MBPK) setiap tahun memerlukan kerajaan segera menangani isu ini.

Mohd Hasnizan Harun (PN – Hulu Selangor) yang membangkitkan isu ini meminta Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menyatakan langkah menangani limpahan golongan berkenaan di sekolah selaras dengan Dasar Sifar Penolakan (Zero Reject Policy).

- Advertisement -

“Jawapan KPM jelas menunjukkan bahawa setiap tahun akan ada peningkatan pelajar-pelajar ini dan sememangnya kita tidak boleh menafikan hak mereka untuk belajar.

“Jadi soalan saya, apakah KPM melihat kepada permasalahan yang berlaku di sekolah seperti di Sekolah Menengah Syed Mashor di Batang Kali, Hulu Selangor, yang peningkatan pelajar tersebut sehinggakan kelas tidak mencukupi untuk mereka belajar.

“Begitu juga dengan guru di sana. Jadi saya mohon KPM mengambil isu ini secara serius,” katanya ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Sementara itu Timbalan Menteri Pendidikan, Lim Hui Ying, berkata KPM telah mengambil beberapa langkah bagi menangani peningkatan bilangan MBPK setiap tahun.

Katanya, ini termasuk menambah bilangan sekolah yang mempunyai Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) dengan jumlah PPKI pada 2018 adalah sebanyak 2,343 buah dan meningkat kepada 2,632 buah pada tahun 2022.

Selain itu, katanya KPM menerima MBPK lebih daripada kapasiti sekolah di Sekolah Pendidikan Khas (SPK) dengan menggunakan bilik khas sebagai bilik pengajaran dan pembelajaran (PdP).

Katanya, bilangan MBPK di SPK pada 2018 adalah sebanyak 2,530 orang dan meningkat kepada 2,710 orang pada tahun lalu.

“KPM juga menyalurkan peruntukan bagi penyediaan kemudahan mesra OKU dan penyelenggaraan lain di Program Pendidikan Khas Integrasi,” katanya. – HARAKAHDAILY 6/3/2023

- Advertisement -