
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Bachok, Mohd Syahir Che Sulaiman mengucpkan terima kasih kepada pasukan operasi mencari dan menyelamat (SAR) kanak-kanak lelaki 12 tahun yang dikhuatiri hilang di Pantai Kemayan, Bachok.
“Bersama kita berdoa agar dapat ditemukan dengan segera, insya-Allah,” ujarnya dalam hantaran di Facebook beliau, semalam.
Pagi semalam, beliau singgah di pantai itu sebelum bertolak ke ibu negara untuk menghadiri persidangan Parlimen. (Foto atas)
Sementara itu, operasi mencari dan menyelamat (SAR) kanak-kanak yang hilang itu, Ahmad Fadhlullah Mohamad, 12, disambung semula pagi tadi setelah ditangguhkan jam 7.30 malam tadi.
Ketua Polis Daerah Bachok, Superintendan Mohamad Ismail Jamaluddin, semalam dilaporkan berkata, misi mencari dan menyelamat dilakukan sekitar satu kilometer (km) daripada tempat mangsa dilaporkan hilang dan akan diperluas pada jarak yang lebih jauh.
Katanya, seramai 67 anggota terdiri daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) yang terbabit dalam SAR kali ini.
Mangsa dilaporkan hilang dipercayai lemas selepas cuba menyelamatkan anak saudaranya Muhammad Nabil Irfan Ismail Mokhtar, 11, yang tergelincir daripada benteng di pantai itu, pagi semalam.– HARAKAHDAILY 8/3/2023











