Pertimbang tiga tuntutan veteran tentera

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Bakri Jamaluddin (PN-Tangga Batu) mendesak kerajaan agar mempertimbangkan tiga tuntutan veteran tentera yang selama ini banyak berkorban untuk negara.

Menurutnya, tiga tuntutan itu ialah pelarasan pencen mereka yang bersara sebelum tahun 2013, menambah baik kadar pencen mereka yang hilang upaya dan bantuan berterusan kepada veteran yang tidak berpencen.

- Advertisement -

“Tangga Batu berdiri di sini untuk menyatakan sokongan kepada perjuangan veteran angkatan tentera untuk mendapatkan pertama, pelarasan pencen anggota tentera yang bersara sebelum 1 Januari 2013, iaitu seramai 78,000 orang atau 59.13 peratus daripada anggota veteran tentera.

“Kedua, menambah baik kadar pencen hilang upaya seramai 1,798 veteran dan ketiga, bantuan hidup berterusan kepada warga veteran tidak berpencen yang berusia 60 tahun ke atas,” katanya semasa perbahasan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat, hari ini.

Bakri mengucapkan terima kasih kepada kerajaan yang bertekad untuk menoktahkan miskin tegar pada kadar sifar tahun ini.

Namun dalam keghairahan ini, katanya kerajaan tidak wajar melupakan veteran tentera yang pernah berjuang mempertahankan negara dan menjadi benteng kepada pertahanan dan keselamatan negara.

“Kita menyambut baik hasrat kementerian untuk menambah bilangan penerima BSH sebanyak 6,000 orang lagi kepada 15,000 orang penerima. Tetapi ia masih jauh lagi di bawah ketimbang jumlah ahli veteran tentera seramai 160,000 orang dan 78,000 ahli yang bersara sebelum 1 Januari 2013.

“Kita menghargai niat baik kerajaan untuk memberikan bantuan serta latihan dan sebagainya kepada pelarian Rohingya, namun akan lebih baik dan menjadi lebih bijak sekiranya keutamaan diberikan kepada rakyat sendiri, terutama mereka yang pernah berjasa kepada negara,” katanya. – HARAKAHDAILY 6/3/2023

- Advertisement -