
KUALA LUMPUR: Golongan anak muda wajar diberi peluang menceburi bidang perniagaan secara lebih meluas supaya matlamat untuk meningkatkan bilangan usahawan dalam kalangan miskin bandar dapat dicapai.
Wan Razali Wan Nor (PN-Kuantan) berkata, antara isu utama yang golongan muda hadapi ialah mencari tapak untuk memulakan perniagaan kerana tapak sedia ada telah disewa oleh peniaga lain.
“Saya mencadangkan kepada kerajaan agar sentiasa mencari tapak baharu yang strategik untuk diberi kepada mereka untuk memulakan perniagaan.
“Ini termasuk membina kiosk yang boleh disewa dengan kadar paling minimum atau menyediakan tapak untuk dipasang khemah,” katanya ketika perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2023 di Dewan Rakyat, hari ini.
Sementara itu, katanya kerajaan perlu memberi perhatian serius terhadap keluhan pembeli projek perumahan yang sepatutnya disiapkan seperti yang dijanjikan.
“Pemantauan terhadap tempoh siap projek perumahan perlu sentiasa dilakukan. Ini kerana jika tidak mengikut jadual asal, pembeli terpaksa membayar pinjaman rumah dan pada masa sama, perlu membayar sewa rumah yang didiami. Keadaan ini memberikan bebanan berganda kepada rakyat.
“Saya memohon Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) sentiasa memantau projek yang masih belum siap mengikut tempoh termasuk projek Prima agar nasib pembeli terbela lebih-lebih lagi kebanyakan mereka adalah golongan B40 dan M40,” katanya.- HARAKAHDAILY 6/3/2023











