Belanjawan 2023 indah khabar daripada rupa

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Keseluruhan Belanjawan 2023 yang ditawarkan oleh kerajaan campuran Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN) masih belum dapat menggarap secara komprehensif arah tuju yang jelas bagi memulihkan semula ekonomi negara secara lebih berkesan.

Tan Sri Muhyiddin Yassin (PN-Pagoh) berkata, ini berdasarkan perbandingan yang dibuatnya terhadap Belanjawan 2023 dan manifesto PH.

- Advertisement -

Menurutnya, terdapat banyak janji dalam manifesto PH yang tidak ditepati atau tidak disentuh langsung dalam Belanjawan 2023.

“Cukuplah jika saya sebutkan yang utama sahaja, iaitu pertama, Dana Peruntukan Kawasan sama rata kepada semua wakil rakyat. Kedua, komitmen kerajaan untuk menghapuskan kartel dalam sektor bahan makanan dan keperluan asas bagi membasmi kegiatan kaut keuntungan melampau.

“Ketiganya, janji-janji dalam bidang pendidikan seperti Program Pemansuhan Hutang bersasar khas kepada golongan miskin dan isi rumah B40, memperkenalkan Biasiswa B40 dan menambah peruntukan program sarapan percuma, yang tidak disentuh dalam ucapan pembentangan.

“Beranikah (Ahli Parlimen) Tambun mengakui janji-janji manifesto PH sekadar retorik politik? Bagaimana pula dengan janji-janji manifesto parti-parti lain dalam kerajaan campuran? Ini termasuk janji BN untuk memperkenalkan Skim Bantuan Pendapatan Asas di mana kerajaan akan mengkreditkan top up secara automatik kedalam akaun semua isi rumah yang mempunyai pendapatan kurang RM2,208 sebulan,” katanya.

Tan Sri Muhyiddin Yassin

Muhyiddin yang juga Pengerusi PERIKATAN NASIONAL (PN) berkata, ucapan Datuk Seri Anwar Ibrahim juga kelihatan tidak komprehensif serta tidak menyentuh masalah sebenar rakyat di peringkat akar umbi.

Beliau berkata, Perdana Menteri hanya gemar bermadah, namun rakyat tidak berminat untuk mendengar madah dan istilah yang digunakan dalam pembentangan Belanjawan 2023, sebaliknya lebih risau mengenai keperluan asas serta jaminan masa depan ekonomi dan kebajikan mereka.

Persoalannya, Muhyiddin berkata: “Bagaimana rakyat hendak berdepan dengan situasi perbelanjaan berganda menjelang pembukaan semula sekolah, ketibaan bulan puasa dan persediaan menghadapi Aidilfitri yang semakin hampir?

Menurutnya, rakyat terpaksa melalui semua ini dalam keadaan beban kos sara hidup yang terus meningkat dan kadar inflasi yang tinggi.

“Kita tidak mendengar apakah penyelesaian sebenar kepada masalah kos sara hidup rakyat daripada pembentangan belanjawan ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 6/3/2023

- Advertisement -