
KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan memperuntukkan RM250,000 untuk program Saringan Kesejahteraan Payudara 2023 (PAYUNG 2023).
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Keluarga dan Wanita negeri, Datuk Mumtaz Md Nawi berkata, peruntukan itu bagi membolehkan orang ramai membuat saringan berkaitan kanser payudara.
“Masih ramai wanita yang takut untuk menjalani saringan kanser payudara. Alhamdulillah, kali ini kita hadirkan Braster, iaitu peranti perubatan yang menyokong diagnosis awal kanser payudara.
“Ini membolehkan mereka yang menjalani saringan itu tidak berasa sakit,” katanya ketika merasmikan program PAYUNG 2023 di Dewan Bunga Teratai, Kota Darulnaim di sini, hari ini.
Turut diadakan gimik penyampaian sijil TOT (Training of Trainers) kepada tujuh daripada 16 pelatih PAYUNG 2023.
Projek ini melibatkan kerjasama kerajaan negeri, Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina Malaysia (PAPISMA), Unit Kesedaran Kanser Payudara dan Penyelidikan (BestARI Hospital USM), Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan dan Dhia Camelia Holdings Sdn Bhd.
Mumtaz yang juga Ahli Parlimen Tumpat berkata, program ini melibatkan kempen, taklimat dan penggunaan peranti perubatan bagi memberi kesedaran pada orang ramai mengenai bahaya kanser payudara.
“Braster dan iPad dibekalkan kepada Pejabat Kesihatan Daerah bagi memudahkan wanita menjalani saringan itu,” katanya.
Selain itu, katanya pelbagai inisiatif dilakukan bagi memberi kesedaran kepada wanita berhubung bahaya kanser payudara. – HARAKAHDAILY 5/3/2023




















