
KUALA LUMPUR: Tuduhan Chong Zhemin, (PH-Kampar) bahawa Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang (PN-Marang) berbohong menyebabkan Tuan Guru Zulkifli Ismail (PN-Jasin) bangun membantah.
Menurut Tuan Guru Zulkifli, bantahan dibuat berdasarkan Peraturan Mesyuarat Perkara 36(6) iaitu seseorang ahli tidak boleh mengeluarkan sangkaan yang jahat ke atas ahli yang lain dan turut meminta agar kenyataan itu ditarik balik.
“Beliau (Zhemin) mengatakan tadi bahawa Marang berbohong di dalam mengambil statistik. Beliau membawa statistik dari pihak beliau. Dan dengan statistik dari pihak beliau, membina sangkaan yang jahat terhadap Marang,” katanya yang juga Timbalan Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat ketika sesi perbahasan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat, semalam.
Dato’ Ahmad Yahya (PN-Pokok Sena) turut berdiri menyokong bantahan Tuan Guru Zulkifli dan meminta agar Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Dato’ Ramli Mohd Nor, mengarahkan Zhemin menarik balik kenyataannya.
“Apa yang saya ingin supaya diperjelaskan, Jasin tadi mohon supaya ditarik balik kenyataan ‘Marang bohong’ kerana walau pun ada alasan dinyatakan melalui akhbar tetapi sumber itu boleh dipertikaikan.
“Jadi bila dibawa di sini, kita mengira ini sangkaan jahat. Maka sangkaan jahat mesti dielakkan,” ujarnya.
Sementara itu, Ramli meminta Tuan Guru Zulkifli membuat usul secara bertulis berkaitan perkara ini.
“Memandangkan Yang Berhormat Jasin telah membangkitkan suatu isu yang telah dibahaskan oleh Yang Berhormat daripada Kampar, saya menyarankan Yang Berhormat Jasin membuat satu usul secara bertulis.
“Jadi benda tu sampai pada meja Speaker, apa yang berlaku, apa yang dinyata boleh dikenal pasti, siapa yang akan membuat keputusan tersebut bolehlah membuat keputusan, petua dan sebagainya, (sama ada) ditarik balik atau sebagainya,” kata Ramli.
Terdahulu Zhemin semasa perbahasan berkata Presiden PAS telah berbohong dengan memberikan statistik palsu berkaitan perbandingan peratusan keluar mengundi antara pengundi Muslim dan non-Muslim pada PRU15 lalu. – HARAKAHDAILY3/3/2023











