Kesesakan paksa bangun seawal 4.30 pagi

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Projek Lebuh Raya Pesisiran Pantai Barat (WCE) yang dijangka siap pada 2025 menyebabkan kesesakan lalu lintas teruk di Bulatan Saujana Putra hingga mengundang kekecewaan rakyat.

Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi (PN-Kuala Langat) berkata, pembangunan pesat akan memburukkan kesesakan lalu lintas seperti pembangunan Idriss (Integrated Development Region in South Selangor) dan pembangunan Pulau Carey yang dinyatakan Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dalam pembentangan Belanjawan 2023, minggu lalu.

- Advertisement -

“Hari ini sudah ada beberapa spot (kesesakan lalu lintas) di daerah Kuala Langat, termasuk di Banting, Teluk Panglima Garang dan Bandar Saujana Putra yang sangat mengecewakan rakyat.

“Ini terutama di Bulatan Saujana Putra yang menyebabkan penduduk kawasan situ. Mereka perlu bangun seawal 4.30 pagi atau 5 pagi untuk keluar pergi hantar anak ke sekolah atau pergi bekerja kerana kesesakan yang begitu teruk yang masih belum dapat diselesaikan,” katanya ketika membahaskan usul Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau yang juga Pesuruhjaya PAs Selangor berkata, perancangan untuk membangunkan jejambat di Saujana Putra telah ditangguhkan tempoh siap sebanyak tiga kali dengan pelbagai alasan.

“Saya tidak tahu lah, sama ada mungkin ketidakseriusan daripada peringkat kerajaan negeri atau ada (kerenah) birokrasi yang menyebabkan ini sentiasa dijadikan alasan sehingga berlaku kelewatan seperti ini.

“Kerajaan mungkin boleh melihat kesesakan yang begitu ketara pada waktu puncak. Mungkin jalan bertingkat juga boleh difikirkan sebagai jalan penyelesaian pada masa akan datang,” katanya. – HARAKAHDAILY 2/3/2023

- Advertisement -