‘YB sila duduk, YB sila duduk’

Datuk Ramli Mohd Nor
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: “YB sila duduk, YB sila duduk, YB sila duduk,” kata Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat ketika Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) dari Kota Melaka, Khoo Poay Tiong, cuba untuk membangkitkan isu soalan tambahan ketiga.

Datuk Ramli Mohd Nor berkata, hampir setiap hari beliau menyebut perkara itu dan keputusan telah dibuat, iaitu hanya membenarkan dua soalan tambahan.

- Advertisement -

Pada peringkat awal, Ahli Parlimen DAP itu tidak berpuas hati lalu membangkitkan Peraturan Tetap Dewan yang membenarkan soalan tambahan ketiga diajukan.

“Saya sudah buat keputusan mengenainya, YB sila duduk,” katanya selepas Poay Tiong mahu mengemukakan soalan tambahan kepada Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Ramkarpal Singh.

Sebelum itu, ketika menjawab soalan tambahan Chow Yu Hui (PH-Raub) Ramkarpal berkata, cadangan untuk membolehkan parti-parti politik memasuki institusi pengajian tinggi dianggap sebagai relevan.

Menjawab soalan asal Datuk Mas Ermieyati Samsudin (PN-Masjid Tanah), Timbalan Menteri terbabit berkata, Akademi Pilihan Raya yang diwujudkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berperanan memberi kesedaran pendidikan kepada pengundi.

Katanya, banyak libat urus diadakan dengan pelbagai pihak bagi memperluaskan kesedaran terhadap tanggungjawab mengundi, terutama membabitkan pengundi muda.

Pada tahun lepas, katanya sebanyak 206 libat urus diadakan bagi memberi kesedaran kepada pengundi.

Beliau juga berkata, peratusan keluar mengundi pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 ialah 74 peratus, lebih rendah berbanding PRU14 (82 peratus).

Walaupun peratusan keluar mengundi lebih rendah, katanya berlaku pertambahan jumlah pengundi yang begitu ketara selepas dilaksanakan pendaftaran secara automatik. – HARAKAHDAILY 1/3/2023

- Advertisement -