Sidang Dewan Rakyat ditambah dua hari 3 dan 4 April

Dewan Rakyat.
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Persidangan Dewan Rakyat bagi Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen Ke-15 ditambah dua hari lagi iaitu pada 3 dan 4 April, menjadikan tempoh bersidang keseluruhan selama 31 hari.

- Advertisement -

Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Johari Abdul berkata pindaan berkenaan ditetapkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Ketua Majlis Mesyuarat selaras dengan Peraturan Mesyuarat 11(2) Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.

“Ini bagi membolehkan beberapa rang undang-undang dan urusan kerajaan dapat dibentangkan dan diputuskan di Dewan Rakyat. Notis bertulis akan diberikan kepada ahli yang berhormat selepas ini,” katanya sebelum sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Mengikut Peraturan Mesyuarat 11(2), dengan tertakluk kepada syarat-syarat perenggan (1) Ketua atau Timbalan Ketua Majlis hendaklah menetapkan, sekurang-kurangnya 28 hari sebelum permulaan tiap-tiap Penggal, tarikh-tarikh Majlis akan bermesyuarat dalam penggal itu.

Bagaimanapun, Ketua atau Timbalan Ketua Majlis boleh mengubah tarikh-tarikh yang ditetapkan dari semasa ke semasa.

Persidangan Dewan Rakyat sebelum ini dijadual tamat pada 30 Mac. – BERNAMA

- Advertisement -