
KUALA LUMPUR: Che Alias Hamid [PN-Kemaman] meminta kerajaan menyatakan tindakan dan langkah-langkah yang telah dilakukan bagi membendung isu penyalahgunaan lesen pembalakan di kawasan hutan simpan kekal.
Katanya, lesen pembalakan di kawasan yang dipelihara kerajaan itu telah dikeluarkan melebihi had yang telah ditetapkan sehingga menjejaskan biodiversiti hutan di negara ini.
“Apakah tindakan tegas yang dilakukan oleh pihak kerajaan, khususnya kerajaan Persekutuan bersama kerajaan negeri dalam menyelesaikan isu ini,” soalnya kepada Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Azmi Nik Ahmad dalam soalan tambahan pada sesi jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Menurut Nik Azmi, tindakan kerajaan bergantung kepada peruntukan yang ditetapkan di bawah tiga perundangan berbeza iaitu Akta Perhutanan Negara bagi Semenanjung, Ordinan Hutan bagi Sarawak dan Enakmen Hutan bagi negeri Sabah.
“Pada masa yang sama, sejak tahun 2019, kerajaan telah memulakan Ecological Fiscal Transfer for Biodiversity Conservation (EFT) sebagai satu insentif.
“Antara negeri yang menerima EFT pada tahun lepas ialah Sabah sebanyak RM12.997 juta, Kelantan (RM5.938 juta), Terengganu (RM6.9 juta), Kedah (RM4.4 juta), Pahang (RM8.49 juta), Sarawak (RM13.3 juta), Perak (RM6.3 juta), dan Selangor (RM3.7 juta),” katanya.
Berdasarkan soalan asal Che Alias, beliau meminta kerajaan menyatakan jumlah kadar kes pembalakan haram di setiap negeri sejak tahun 2022 dan sejauh mana keberkesanan penggunaan teknologi baharu seperti dron dapat mengurangkan aktiviti pembalakan haram. – HARAKAHDAILY 27/2/23











