
KUALA LUMPUR: Kerajaan Pusat dan PETRONAS perlu telus dan konsisten bagi memastikan hak yang wajib diserahkan kepada Kelantan dan Terengganu dilunaskan mengikut Akta Pembangunan Petroleum (PDA 1974).
Mohd Syahir Che Sulaiman (PN-Bachok) berkata, perkara itu perlu dilaksanakan seperti yang dimeterai supaya agenda meningkatkan tahap pembangunan dan kebajikan rakyat dapat dijayakan dengan sebaiknya.
Selain itu, beliau mempersoalkan adakah kerajaan bercadang untuk menyemak semula kadar pemberian mengikut kepala (perkapita) di bawah Perkara 109 Perlembagaan Malaysia.
“Perkara ini, bagi menyesuaikan dengan keadaan dan keperluan kewangan semasa yang dihadapi oleh negeri-negeri, khususnya kenaikan inflasi dan kos semasa yang lebih tinggi.
“Saya juga meminta spesifikan juga untuk Kelantan, mohon penjelasan berkenaan ungkapan YAB Perdana Menteri tempoh hari bahawa Kementerian Kewangan akan memperuntukkan ‘sebahagian’ daripada Wang Ehsan Kelantan dan Terengganu supaya disalurkan secara langsung khususnya untuk membantu golongan miskin”.
“Walau apa pun istilah yang diguna pakai, hendaklah ada ketelusan dan konsistensi polisi di pihak Kerajaan Persekutuan dan PETRONAS bagi memastikan hak yang wajib diserahkan kepada negeri terlibat,” katanya dalam perbahasan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat, hari ini.
Mohd Syahir turut mencadangkan kepada kerajaan agar memperkenalkan inisiatif baharu untuk meningkatkan hasil serta menambah baik pematuhan cukai di samping memperkukuh pengurusan perbelanjaan kerajaan supaya lebih telus.
“Justeru itu, adakah kerajaan bercadang untuk mempertimbangkan suatu mekanisme bagi menetapkan paras ambang (threshold) untuk perbelanjaan mengurus berbanding hasil semasa, contohnya pada paras 90 peratus atau 85 peratus supaya ruang fiskal kerajaan lebih anjal untuk melaksanakan program dan inisiatif membantu rakyat.
“Bagi tahun 2023, anggaran perbelanjaan mengurus sudah menghampiri jumlah hasil kerajaan pada paras 99 peratus.
“Ini bermakna, setiap hasil yang dipungut kerajaan hanya cukup untuk menampung kos pengurusan kerajaan dan situasi ini adalah berisiko terhadap keupayaan fiskal sekiranya terdapat kenaikan kos di luar jangkaan atau kutipan hasil jauh lebih rendah daripada yang dianggarkan,” katanya. – HARAKAHDAILY 27/2/23




















