Salur hasil petroleum terus kepada Kelantan, Terengganu?

Foto hiasan.
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri diminta menyatakan adakah kerajaan bercadang untuk menyalurkan hasil petroleum secara terus kepada Kerajaan Negeri Kelantan dan Terengganu seperti yang dilaksanakan oleh Kerajaan PERIKATAN NASIONAL sebelum ini.

- Advertisement -

Tan Sri Muhyiddin Yassin (PN-Pagoh) mengemukakan soalan itu pada sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Soalan Ahli-ahli Parlimen PERIKATAN NASIONAL yang disenaraikan pada sesi itu hari ini sebagaimana di bawah.

Tuan Rushdan bin Rusmi [Padang Besar] minta Perdana Menteri menyatakan tahap kesediaan agensi pengurusan bencana dalam mendepani bencana alam seperti kes tanah runtuh Batang Kali.

Kapten Azahari bin Hasan [Padang Rengas] minta Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri menyatakan apakah langkah Kerajaan untuk mengurangkan harga kenderaan.

Tuan Abdul Latiff bin Abdul Rahman [Kuala Krai] minta Perdana Menteri menyatakan adakah Kerajaan bercadang untuk mewajibkan kepada semua murid yang beragama Islam untuk mempelajari KAFA dan mengambil peperiksaan UPKK.

Tuan Haji Bakri bin Jamaluddin [Tangga Batu] minta Menteri Pertahanan menyatakan apakah langkah yang diambil oleh Kementerian bagi menyelesaikan masalah kuarters tentera yang tidak diselenggara dengan baik khususnya seperti di Melaka.

Datuk Haji Ahmad Amzad bin Mohamed @ Hashim [Kuala Terengganu] minta Menteri Ekonomi menyatakan apakah inisiatif Kerajaan dalam membantu pembangunan infrastruktur dan penyaluran dana pembangunan untuk negeri pantai timur khususnya Terengganu bagi mengurangkan jurang pembangunan antara negeri-negeri di Malaysia selaras dengan dasar Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.

Dr. Ahmad Fakhruddin bin Fakhrurazi [Kuala Kedah] minta Menteri Pendidikan Tinggi menyatakan apakah inisiatif Kementerian untuk melangsungkan operasi institut pengajian tinggi swasta yang tenat selepas pandemik Covid-19.

Datuk Haji Ahmad Marzuk bin Shaary [Pengkalan Chepa] minta Menteri Pendidikan Tinggi menyatakan sejauh mana keberkesanan Pelan Strategik Kebolehpasaran Graduan 2021-2025 bagi meningkatkan kebolehpasaran graduan tempatan.

Tuan Jamaludin bin Yahya [Pasir Salak] minta Menteri Pendidikan Tinggi menyatakan statistik terkini siswazah yang sedang menganggur di negara ini dan menyatakan langkah-langkah segera untuk menangani isu ini.

Tuan Zulkifli bin Ismail [Jasin] minta Menteri Pendidikan Tinggi menyatakan sejauh manakah pihak Kementerian telah meneliti kesesuaian isi kandungan dan impak hasil pelaksanaan penukaran subjek Tamadun Islam dan Tamadun Asia dan subjek Hubungan Etnik kepada subjek Falsafah dan Isu Semasa dan subjek Penghayatan Etika dan Peradaban di IPT pada tahun 2019 dan 2020.

Tuan Muhammad Fawwaz bin Mohamad Jan [Permatang Pauh] minta Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri menyatakan kaedah bagi mengelakkan kenaikan kos terhadap industri pembuatan akibat daripada kenaikan tarif elektrik dalam sektor perindustrian yang akan memberi kesan langsung terhadap pengguna akhir.

Dato’ Syed Abu Hussin bin Hafiz Syed Abdul Fasal [Bukit Gantang] minta Perdana Menteri menyatakan pendirian Kerajaan berhubung Dasar Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (2020-2030) yang telah dilancarkan oleh Perdana Menteri ke-7 Tun Dr. Mahathir Mohamad pada 5 Oktober 2019 semasa memimpin Kerajaan Pakatan Harapan Pasca PRU14. Dasar ini telah diteruskan oleh Perdana Menteri ke 8 dan ke 9, bagaimana pula dengan Perdana Menteri ke-10.

Tan Sri Haji Abdul Hadi bin Awang [Marang] minta Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup menyatakan sejauh mana usaha Kementerian telah dilakukan untuk menghapuskan kartel dan memastikan bekalan bahan mentah mencukupi bagi menangani kos sara hidup rakyat yang meningkat.

Dato’ Ahmad bin Saad @ Yahaya [Pokok Sena] minta Perdana Menteri menyatakan perkembangan terhadap siasatan salah laku perolehan Kapal Peronda Generasi Kedua (LCS).

Datuk Wan Saifulruddin bin Wan Jan [Tasek Gelugor] minta Menteri Komunikasi dan Digital menyatakan apa perancangan Kerajaan untuk memperbaiki capaian 4G di seluruh negara, khususnya di Parlimen Tasek Gelugor dan apakah jaminan bahawa pembinaan infrastruktur 5G tidak akan mengenepikan 4G dan 3G yang masih digunakan oleh majoriti rakyat.

Tuan Mohd Azizi bin Abu Naim [Gua Musang] minta Perdana Menteri menyatakan syarat-syarat permohonan Rumah Generasi Kedua FELDA, status rumah yang telah siap, jumlah yang telah diduduki dan taraf kemudahan infrastrukturnya.

Dato’ Wira Dr. Ku Abd Rahman bin Ku Ismail [Kubang Pasu] minta Menteri Komunikasi dan Digital menyatakan tindakan Kementerian berhubung dengan isu capaian internet yang lemah di kampus-kampus institut pengajian tinggi awam amnya dan Universiti Utara Malaysia khususnya.

Tuan Mohd Syahir bin Che Sulaiman [Bachok] minta Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup menyatakan langkah-langkah baharu yang diambil oleh Kerajaan bagi menangani permasalahan kos sara hidup yang menjadi keresahan rakyat akibat pertumbuhan kadar pendapatan isi rumah yang lebih perlahan berbanding kadar inflasi terutamanya golongan B40 dan M40.

Dato’ Khlir bin Mohd Nor [Ketereh] minta Perdana Menteri menyatakan adakah siasatan terhadap projek pembinaan kapal tempur pesisir (LCS) akan diteruskan dan apakah respon terhadap isu penyelewengan seperti yang didakwa oleh YB Pandan sebelum ini.

Dr. Radzi Jidin [Putrajaya] minta Perdana Menteri menyatakan langkah Kerajaan dalam memastikan hak FELDA terpelihara apabila nilai pelaburan RM2.3 bilion dalam Syarikat Eagle High Plantation (EHP) telah merudum ke sekitar RM220 juta, penurunan lebih 90%. Apakah status pelaksanaan put option oleh FELDA terhadap pegangan dalam EHP.

Dato’ Sri Tuan Ibrahim bin Tuan Man [Kubang Kerian] minta Perdana Menteri menyatakan perincian jumlah kos projek naik taraf infrastruktur ICT National Cyber Coordination and Command Centre (NC4) untuk Agensi Keselamatan Siber Negara, Majlis Keselamatan Negara dan sama ada Kerajaan bercadang untuk melaksanakan rundingan terus bagi projek tersebut.

Dato’ Sri Dr. Haji Ismail bin Haji Abd. Muttalib [Maran] minta Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup menyatakan sehingga kini harga barang-barang masih tidak menentu malahan semakin naik sedangkan janji utama kepimpinan Kerajaan sekarang adalah untuk menurunkan harga barang-barang termasuk harga petrol. Apakah langkah dan usaha yang diambil Kerajaan untuk mengatasi masalah ini.

Datuk Haji Idris bin Haji Ahmad [Bagan Serai] minta Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup menyatakan selain BERNAS yang memberikan peruntukan RM60 juta bagi membantu pesawah padi, adakah Kerajaan akan meminta bantuan syarikat-syarikat besar yang memonopoli barang keperluan asas seperti gula, telur, tepung serta barang keperluan asas yang lain.

Tuan Ahmad Fadhli bin Shaari [Pasir Mas] minta Perdana Menteri menyatakan sama ada Kerajaan mempunyai perancangan untuk mengekalkan skim berpencen tetap bagi siri-siri pengambilan penjawat awam pada masa akan datang.

Dato’ Haji Abdul Khalib bin Abdullah [Rompin] minta Menteri Pendidikan Tinggi menyatakan adakah pihak Kementerian mempunyai perancangan untuk menggalakkan pusat pengajian tinggi awam/swasta memperhebatkan Program Pembelajaran Sepanjang Hayat sebagai satu penambahbaikan kepada kualiti pekerja dalam industri di samping dapat meningkatkan kualiti dalam sistem penyampaian oleh jabatan Kerajaan dan swasta.

Tuan Haji Kamal bin Ashaari [Kuala Krau] minta Perdana Menteri menyatakan pendirian Kerajaan untuk meneruskan lagi usaha Kerajaan sebelum ini dalam menghapuskan hutang FELDA.

Tan Sri Dato’ Haji Mahiaddin bin Haji Mohd. Yassin [Pagoh] minta Perdana Menteri menyatakan adakah Kerajaan bercadang untuk menyalurkan hasil petroleum secara terus kepada Kerajaan Negeri Kelantan dan Terengganu seperti yang dilaksanakan oleh Kerajaan Perikatan Nasional sebelum ini.

Tuan Haji Mohd Misbahul Munir bin Masduki [Parit Buntar] minta Menteri Pertahanan menyatakan status kem tentera yang dibina di Hutan Melintang yang pernah menjadi pusat mengundi pada tahun 2018 walaupun pengundinya dari kalangan tentera belum pun ditempatkan di situ.

Datuk Haji Muslimin bin Yahaya [Sungai Besar] minta Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup menyatakan berapa kuota minyak masak sawit yang telah diluluskan dan diberikan sepenuhnya kepada pemegang-pemegang kuota setakat ini dan apakah terma utama yang mesti dipenuhi oleh pemegang-pemegang kuota ini.

Sementara itu, soalan daripada Shaharizukirnain Abd. Kadir [PN-Setiu] dijawab pada sesi Pertanyaan-Pertanyaan Menteri.

Beliau minta Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan menyatakan rasional membawa masuk pakar perumahan Singapura ke negara ini sedangkan negara mempunyai pakar-pakar perancangan bandar tempatan yang boleh dimanfaatkan untuk tujuan tersebut. – HARAKAHDAILY 23/2/2023

- Advertisement -