Sektor pelancongan domestik perlu diperkasa

- Advertisement -

SAYA telah diberi kesempatan untuk berbahas dalam sesi perbahasan Usul Menjunjung Kasih sempena Titah Diraja Penggal Kedua dengan membawa beberapa isu yang memerlukan perhatian daripada pihak kerajaan. Antara isu yang saya ketengahkan berkaitan sektor pelancongan yang perlu diperkasakan lagi memandangkan sektor ini penyumbang KDNK negara.

Realiti pada hari ini, apabila ramai rakyat Malaysia memilih untuk melancong ke luar negara seperti di Hatyai, Thailand dengan kos yang murah berbanding pergi melancong ke Pulau Langkawi atas dasar bahawa pulau pelancongan itu berkos tinggi. Persoalannya, sejauh mana langkah-langkah yang diambil oleh kerajaan bagi memberikan promosi dan kesedaran kepada rakyat untuk memilih pelancongan domestik berbanding pelancongan luar negara pada ketika ini?

Selain itu, Terengganu yang merupakan destinasi pelancongan utama negara dalam usaha mencapai sasaran tiga juta orang pelancong ke Terengganu pada tahun 2023 telah menyediakan pelbagai aktiviti sebagai usaha menggandakan jumlah kedatangan pelancong tempatan dan Antarabangsa ke Terengganu.

Oleh itu, saya berminat untuk mendapatkan penjelasan sejauh manakah usaha yang telah dilakukan oleh Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) bagi mempromosikan agenda pelancongan Negeri Terengganu di peringkat Antarabangsa?

Seterusnya, saya telah menyentuh isu hakisan pantai yang berlaku dalam Parlimen Dungun yang mana ia sedikit sebanyak menjejaskan sektor pelancongan di Dungun. Sebagai contoh sejauh kira-kira 10 kilometer dari Pantai Teluk Lipat ke Teluk Gadung di sini yang berlarutan sejak beberapa tahun lalu kini semakin meruncing hakisan pantai sehingga membimbangkan penduduk.

Saya mendapati beberapa buah laluan utama turut dilimpahi air laut berikutan ombak laut yang kuat akibat fenomena air pasang besar. Oleh itu saya ingin mendapat pencerahan daripada pihak kerajaan apakah status penyelesaian masalah hakisan pantai bagi masa panjang di Parlimen Dungun di bawah program yang dilaksanakan oleh ECERDC.

Sehubungan itu, besar harapan saya agar segala isu yang saya bangkitkan di dewan rakyat berkaitan sektor pelancongan domestik terutama di Parlimen Dungun mendapat perhatian daripada kerajaan pada hari ini walaupun berbeza kefahaman politik.

“Malaysia Sejahtera”

YB TUAN HAJI WAN HASSAN MOHD RAMLI
Ahli Parlimen Dungun – HARAKAHDAILY 22/2/2023

- Advertisement -
- Advertisement -