
PERTAMANYA, saya ingin mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada para pengundi Parlimen Dungun yang telah memberikan undian kepada saya untuk menjadi Ahli Parlimen mewakili mereka.
Seterusnya, Tuan Yang di-Pertua, perkara yang disebut oleh Titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong berkait dengan pelancongan, di mana jumlah sasaran 9.2 juta pelancong telah datang ke Malaysia dengan penghasilan pendapatan sebanyak RM26.8 bilion pada akhir tahun 2022. Ini menambahkan hasil pendapatan negara.
Oleh itu, Tuan Yang di-Pertua, saya ingin untuk mendapat maklumat, bahawa wujud kebimbangan sejak sektor pelancongan telah dibuka sepenuhnya.
Ramai rakyat memilih untuk melancong ke luar negara tidak mengutamakan pelancongan domestik yang dikatakan lebih berkos murah berbanding di dalam negara. Saya dimaklumkan bahawa baru-baru ini ramai rakyat memilih ke Hatyai, Thailand berbanding pergi ke Pulau Langkawi atas dasar bahawa pulau pelancongan itu lebih berkos tinggi.
Adakah benar maklumat ini? Soalan saya, apakah tindakan daripada kementerian bagi memberikan promosi dan kesedaran kepada rakyat untuk memilih pelancongan domestik berbanding pelancongan antarabangsa pada ketika ini? Mohon pencerahan kementerian.
Seterusnya, saya ingin juga Tuan Yang di-Pertua, berkait dengan pelancongan di Terengganu iaitu Jabatan Pelancongan negeri Terengganu dalam usaha mencapai sasaran tiga juta orang pelancong ke Terengganu pada tahun ini telah menyediakan aktiviti-aktiviti pelancongan sebagai usaha menggandakan jumlah kedatangan pelancong tempatan dan antarabangsa ke Terengganu sekali gus menjadikan negeri Terengganu sebagai sebuah destinasi utama percutian.
Saya berminat untuk mendapatkan penjelasan sejauh manakah usaha yang telah dilakukan oleh Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya Malaysia bagi mempromosikan agenda pelancongan negeri Terengganu di peringkat antarabangsa.
Yang kedua, pasca pandemik Covid-19. Apakah bentuk bantuan telah disediakan oleh kementerian kepada pengusaha-pengusaha pelancongan termasuk perhotelan negeri Terengganu bagi merancakkan semula industri pelancongan di negeri Terengganu?
Saya juga ingin untuk mendapat maklumat berkenaan dengan sektor pelancongan daripada perspektif geografi Pantai Timur iaitu sejauh mana keberkesanan ECERDC atau Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur bertindak dalam membantu kerajaan negeri di tiga-tiga negeri Pahang, Kelantan dan juga Terengganu dalam aspek pelancongan sejak penubuhannya.
Sejauh manakah perancangan yang telah direncanakan oleh Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya Malaysia bagi mempromosikan aktiviti-aktiviti kepentingan pelancongan Pantai Timur ini?
Saya juga ingin untuk menyebutkan tentang isu yang ada kaitan dengan sektor pelancongan iaitu masalah hakisan pantai yang berlaku dalam Parlimen Dungun yang mana ia sedikit sebanyak menjejaskan sektor pelancongan di Dungun. Saya ingin memberi contoh sejauh kira-kira 10 kilometer dari Panti Teluk Lipat ke Teluk Gadung di sini yang berlarutan sejak beberapa tahun lalu kini semakin meruncing sehingga membimbangkan penduduk.
Saya mendapati beberapa buah laluan utama turut dilimpahi air laut berikutan ombak laut yang kuat akibat fenomena air pasang besar. Oleh itu saya ingin mendapat pencerahan daripada pihak kerajaan apakah status penyelesaian masalah hakisan pantai bagi masa panjang di Parlimen Dungun di bawah program yang dilaksanakan oleh ECERDC.
Selain itu, saya juga ingin untuk menyebutkan tentang kepentingan berkaitan dengan pembangunan pelancongan di kawasan saya sendiri iaitu berkait dengan tempat-tempat pelancongan yang menarik yang dianugerahkan oleh Allah kepada kami. Sekadar memberi contoh, wujudnya muzium Bukit Besi, Taman Rekreasi Tasik Puteri Bukit Besi, Pantai Rantau Abang, Pantai Batu Pelanduk dan lain-lain.
Namun, saya ingin untuk menyebut secara khusus berkenaan dengan Pulau Tenggol yang mana ia memerlukan masa perjalanan sekitar 40 minit menggunakan bot laju dari tanah Kuala Dungun.
Namun, pulau ini sebagai sebuah taman marin yang diwartakan dan keindahan ia yang terpelihara. Walaupun ia kecil, ia adalah sangat sesuai untuk aktiviti scuba diving atau menyelam skuba. Saya ingin untuk mendapat perhatian pihak kerajaan berkenaan pembangunan industri pelancongan kepada pulau ini dalam promosi yang dibuat khususnya melalui Kementerian Pelancongan.
Seterusnya Tuan Yang di-Pertua, isu yang serius yang berkaitan kesihatan awam. Oleh sebab dalam dapatan kajian perangkaan oleh Jabatan Perangkaan, jangka hayat umur warga negara Malaysia bagi lelaki ialah 72 tahun, bagi wanita ialah 75 tahun. Kalau kita bahagikan kepada jangka hayat ini, 25 tahun adalah dikhususkan kepada sektor pendidikan. Kemudian, sebelum daripada warga emas umur 60 tahun, daripada umur 25 sehingga 60 itu sektor ekonomi memainkan peranan. Akan tetapi apabila masuk usia warga emas, sebagai sebuah negara menua – an aging nation, maka, kita dapati apa yang dititahkan oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong iaitu peningkatan beban penyakit berjangkit dan tidak berjangkit serta peningkatan populasi rakyat yang semakin menua merupakan antara isu kesihatan yang perlu menjadi keutamaan kerajaan.
Oleh itu, Tuan Yang di-Pertua, saya ingin untuk kita melihat kepada kepentingan isu berkait dengan kesihatan awam dalam negara kita. Hospital-hospital kerajaan terutamanya di ibu-ibu negeri atau di bandar-bandar besar adalah terlalu sesak. Situasi ini mewujudkan pelbagai masalah yang menjejaskan kualiti rawatan bagi pesakit kita. Antaranya masa pendaftaran yang terlalu lama.
Yang kedua, masa menunggu yang lama pesakit untuk mendapatkan rawatan perubatan. Yang ketiga, proses kemasukan dalam wad lambat kerana tiada katil yang kosong.
Yang keempat, pesakit dibenarkan keluar wad sebelum mereka betul-betul sembuh, untuk memberi ruang kepada kes baharu yang menunggu rawatan.
Yang kelima, peningkatan risiko dijangkiti kuman daripada pesakit lain.
Yang keenam, bilangan pesakit melebihi kapasiti wad mewujudkan suasana kerja yang tertekan untuk jururawat dan doktor.
Yang ketujuh, tekanan jiwa untuk kakitangan yang kerja di wad yang penuh dan sesak serta isu-isu lain.
Oleh itu, soalan saya apakah inisiatif jangka masa panjang dan juga jangka masa pendek dan segera daripada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia bagi mengatasi masalah-masalah tersebut?
Akhirnya, iaitu isu kritikal- kesihatan yang juga penting bagi Parlimen Dungun. Saya ingin untuk menyebutkan tentang Hospital Dungun. Jawapan yang telah dimaklumkan iaitu pada 18 November 2021. Jawapan yang diberikan ialah Hospital Dungun telah siap 98.2 peratus. Jangka beroperasi ialah April 2022. Akan tetapi kita sudah hampir hari ini 20 Februari 2023 masih lagi belum beroperasi.
Apakah masalah sebenarnya sehingga menyebabkan jangkaan penyelesaian sebenar boleh seterusnya digunakan oleh penduduk dalam daerah Dungun? Ini adalah sangat penting. Mohon penjelasan daripada Kementerian Kesihatan.
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. saya menyokong titah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong. Mudah-mudahan kita berada dalam satu suasana yang memungkinkan kita melihat kepentingan kesihatan negara diatasi dengan segera. – HARAKAHDAILY 21/2/2023
Petikan ucapan Ahli Parlimen Dungun, Ustaz Wan Hassan Mohd Ramli semasa membahaskan Usul Menjunjung Kasih Titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat pada 20 Februari 2023.











