
Lionel Messi mengatasi Diego Maradona sebagai pemain terhebat sepanjang zaman, kata jurulatih pemenang Piala Dunia Argentina, Lionel Scaloni.
“Jika perlu memilih, saya pilih Leo. Saya mempunyai sesuatu yang istimewa dengannya. Dia adalah yang terbaik sepanjang zaman walaupun Maradona juga hebat,” kata Scaloni kepada stesen radio Sepanyol, Cope, semalam.
Peminat Argentina telah lama memilih Maradona berbanding Messi, tetapi pandangan itu kelihatan berubah selepas penyerang Paris St Germain itu mengetuai pasukan negaranya menjulang Piala Dunia, bulan lalu buat kali pertama sejak Maradona memberi inspirasi kepada mereka untuk memenanginya pada 1986.
Scaloni juga mendedahkan bahawa dia menghubungi Messi sebaik dinamakan dinamakan sebagai jurulatih Argentina pada 2018, ketika penyerang itu berehat daripada tugas antarabangsa selepas Piala Dunia yang mahu dilupakan di Rusia.
“Perkara pertama yang kami lakukan ialah membuat panggilan video dengan Messi yang memberitahu dia berbesar hati. Perkara pertama yang kami katakan kepadanya ialah ‘Kembalilah. Kami menunggu kamu’. Itulah yang kami lakukan dan lapan bulan kemudian, dia datang dan menemui kumpulan yang menakjubkan,” kata Scaloni.
“Melatih Messi tidak sukar. Anda tidak boleh membetulkannya dari segi teknikal, tetapi kadang-kadang anda boleh mengarahkannya untuk menekan atau menyerang dengan cara tertentu. Apabila dia mencium bau darah, dia adalah nombor satu.”
Scaloni juga mempertahankan penjaga golnya, Emiliano Martinez yang dikritik kerana meraikan kejayaan Argentina secara berlebihan seperti membuat isyarat lucah ketika menerima Anugerah Sarung Tangan Emas dan membawa bayi mainan berwajah Kylian Mbappe ketika perarakan menaiki bas terbuka.
“Ada sikap yang dia tidak akan gembira, tetapi dia seorang lelaki yang hebat. Dia seperti kanak-kanak. Dia seorang lelaki yang luar biasa, personalitinya telah banyak memberi sumbangan kepada kumpulan itu,” katanya. – REUTERS











