
ALOR SETAR: Pemimpin DAP perlu membuktikan dakwaan kononnya aktiviti judi boleh membentuk keharmonian antara kaum di negara ini.
Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, judi tidak pernah menjadi alat membentuk keharmonian kaum sebaliknya merosakkan masyarakat tanpa mengenal agama dan bangsa.
“Judi bukan hanya isu untuk satu kaum sahaja sebaliknya judi merosakkan semua kaum di negara ini,” kata beliau di sini.
Beliau diminta mengulas permintaan pemimpin DAP yang mahu penamatan lesen premis perjudian dan loteri di Kedah berkuatkuasa 1 Januari 2023 dipertimbangkan semula.
Malah Setiausaha DAP Kedah, Teh Swee Leong dilapor cuba menggambarkan aktiviti judi boleh membentuk keharmonian antara kaum dan mengawal masalah sosial.
Sanusi menegaskan kerajaan negeri tidak akan pertimbangan semula peraturan tersebut kerana akvititi perjudian merosakkan semua kaum.
“Keharmonian kaum hanya boleh dibentuk melalui integrasi di sekolah, aktiviti sukan, seni budaya, bahasa pertuturan dan bukannya melalui perjudian,” kata beliau.
Bermula 1 Januari 2023 semua lesen premis perjudian sama ada loteri, sport toto atau lain-lain tidak lagi dibenarkan lagi beroperasi di Kedah.
Keputusan mengenainya diumumkan menteri besar pada sidang media sempena Sidang Bajet Kedah 2022 pada 14 November 2021. – HARAKAHDAILY 4/1/2023











