Ronaldo sertai kelab Arab Saudi, Al Nassr

- Advertisement -

Kapten Portugal, Cristiano Ronaldo menyertai kelab Arab Saudi, Al Nassr dengan kontrak 2-1/2 tahun selepas meninggalkan Manchester United untuk menjadi ejen bebas.

- Advertisement -

Ronaldo meninggalkan Old Trafford bulan lalu, berikutan temu bual televisyen apabila penyerang berusia 37 tahun itu meluahkan perasaan bahawa dia berasa dikhianati dan tidak dihormati pengurus kelabnya, Erik ten Hag.

Al Nassr mengeluarkan kenyataan semalam mengatakan pemenang Ballon D’or lima kali itu akan menyertai kelab itu sehingga 2025, tetapi tidak mendedahkan sebarang butiran kewangan. Kontrak Ronaldo dianggarkan oleh media bernilai lebih 200 juta Euro.

“Saya bertuah kerana telah memenangi segala-galanya yang diidamkan dalam bola sepak Eropah dan merasakan sekarang adalah masa yang sesuai untuk berkongsi pengalaman di Asia,” kata Ronaldo dalam kenyataan itu.

“Saya tidak sabar untuk menyertai rakan sepasukan baharu dan bersama-sama mereka membantu kelab mencapai kejayaan.”

Ronaldo akan tiba di Arab Saudi dengan koleksi kejuaraan kelab yang banyak selepas mengharungi kejayaan gemilang bersama gergasi Sepanyol, Real Madrid antara 2009-18 apabila memenangi dua gelaran LaLiga, dua Piala Sepanyol, empat gelaran Liga Juara-Juara dan tiga Piala Dunia Kelab.

Dia mencatatkan rekod kelab dengan menjaringkan 451 gol untuk Real dan mempunyai lebih 800 gol secara keseluruhan untuk kelab dan negara.

Ronaldo menjaringkan gol dalam lima Piala Dunia – BBC Sport

Ronaldo juga merangkul dua kejuaraan Serie A dan satu Copa Italia dalam tempoh tiga tahun di Juventus sebelum menyertai semula United dengan tiga mahkota Liga Perdana, Piala FA, dua Piala Liga, Liga Juara-Juara dan Piala Dunia Kelab.

Di Piala Dunia Qatar, Ronaldo bermain untuk Portugal untuk menjadi pemain pertama yang menjaringkan gol dalam lima Piala Dunia selepas menjaringkan penalti dalam perlawanan pembukaan Kumpulan H menentang Ghana. Namun, Portugal tersingkir di suku akhir oleh Maghribi.

Ronaldo berkata, Qatar mungkin akan menjadi Piala Dunia terakhirnya kerana merancang untuk bersara pada usia 40 tahun, dengan perpindahan ke Arab Saudi menjadi pengakhiran kerjayanya sebagai antara pemain terhebat bola sepak bersama Lionel Messi.

“Ini lebih daripada sejarah dalam bikinan,” kata Presiden Kelab Bola Sepak Al Nassr, Musalli Almuammar.

“Ini adalah tandatangan yang bukan sahaja akan memberi inspirasi kepada kelab kami untuk mencapai kejayaan yang lebih besar, tetapi memberi inspirasi kepada liga kami, negara dan generasi akan datang.”

Kelab Arab Saudi itu yang telah memenangi sembilan gelaran Liga Perdana Pro Saudi, berharap Ronaldo dapat membantu mereka memenangi satu lagi kejuaraan liga domestik dan Liga Juara-Juara Asia AFC yang pertama.

Bagaimanapun, penyerang Portugal itu akan terlepas dua perlawanan domestik pertamanya selepas digantung kerana insiden telefon selepas kekalahan United di Everton pada April lalu. – REUTERS

- Advertisement -