
Penyerang Belanda, Cody Gakpo, mendedahkan dia dipujuk untuk menyertai Liverpool oleh kapten Belanda, Virgil van Dijk, yang juga bermain untuk kelab Liga Perdana itu.
Gakpo yang menjaringkan tiga gol pada Piala Dunia Qatar sebelum Belanda tewas pada suku akhir kepada Argentina, menyertai Liverpool dari PSV Eindhoven, semalam dengan bayaran awal yang dilaporkan sebanyak 37 juta Pound (RM197 juta).
Media Britain melaporkan Manchester United turut mengejar pemain itu sebelum Liverpool mengesahkan perjanjian itu dan Gakpo memberitahu laman web kelab itu bahawa Van Dijk memainkan peranan besar dalam keputusannya untuk berpindah ke Anfield.
“Dia beritahu saya, ini adalah langkah tepat untuk saya lakukan dan untuk saya berkembang menjadi pemain yang lebih baik, bahawa Liverpool adalah kelab yang sangat besar, tetapi seperti keluarga sebenar.
“Saya rasa itu juga sangat penting bagi saya kerana saya seorang lelaki yang rapat dengan keluarga. Dia hanya bercakap perkara yang baik. Saya juga gembira dia ada di sini, jadi dia boleh bantu saya berkaitan beberapa perkara,” kata Gakpo.
Perpindahan Gakpo akan disempurnakan secara rasmi pada permulaan jendela perpindahan Januari ini dan akan layak membuat penampilan sulung menentang Brentford pada 2 Januari.
Liverpool, yang berada di tangga keenam liga dengan 25 mata daripada 15 perlawanan, akan menentang Leicester City pada Jumaat. – REUTERS











