
Jurulatih Manchester City, Pep Guardiola, percaya Erling Haaland tidak berada pada tahap terbaiknya dan boleh menjadi lebih hebat walaupun pemain Norway itu menjadi pemain terpantas mencapai 20 gol dalam sejarah Liga Perdana ketika kelabnya menang 3-1 di Leeds United.
Haaland meneruskan prestasi menjaringkan gol luar biasa dengan dua jaringan pada babak kedua di Elland Road, semalam untuk mencapai 20 gol melalui hanya 14 perlawanan.
Pemain antarabangsa Norway itu menjaringkan 26 gol dalam 20 penampilan di bawah Guardiola dalam semua pertandingan.
“Dia terlepas peluang, saya harap dia boleh lakukan yang lebih baik. Namun, jumlah jaringannya luar biasa. Dia adalah ancaman yang luar biasa untuk lawan dan sentiasa berada di kedudukan yang betul pada masa yang tepat.
“Namun, saya rasa dia tidak berada pada tahap terbaiknya. Ia adalah soal masa. Sudah tentu kami gembira, tetapi rentak kecil yang dia miliki pada awal musim, kini dia mungkin bergelut sedikit, tetapi ia adalah persoalan tentang masa,” kata Guardiola.
Jurulatih dari Sepanyol itu mengakui cukup berpuas hati dengan prestasi Haaland, tetapi mempunyai perasaan bahawa penyerangnya lebih tajam pada awal musim ini.
Haaland mempunyai banyak masa untuk memikirkan langkah seterusnya apabila Norway tidak mengambil bahagian dalam Piala Dunia Qatar, tempoh masa yang pemain berusia 22 tahun itu nyatakan membantunya meningkatkan ketajaman di depan gawang.
“Saya berada di rumah, agak marah kerana tidak pernah ke Piala Dunia. Melihat orang lain menjaringkan gol untuk memenangi perlawanan di Piala Dunia memberi dorongan dan menjengkelkan saya. Saya lebih bersedia berbanding sebelum ini,” katanya.
Usaha Haaland di Elland Road pastinya sangat manis memandangkan dia dilahirkan di Leeds. Bapanya, Alfie bermain untuk kelab Yorkshire dan dia pernah dilatih oleh Pengurus Leeds, Jesse Marsch di RB Salzburg.
Walaupun melihat bekas penyerangnya meninggalkan Leeds hanya dua mata di depan zon penyingkiran Liga Perdana, Marsch hanya mengucapkan perkara yang baik mengenai Haaland kerana memecahkan rekod pada perlawanan itu.
“Saya sangat gembira untuknya. Melihatnya menjaringkan gol adalah menyakitkan, saya mahu dia dalam kit berbeza.
“Tetapi apabila mengenali lelaki muda ini dan anda melihat kualiti mereka sebagai manusia, anda mahu mereka melakukan yang terbaik, cuma bukan menentang pasukan anda. Tetapi saya gembira untuknya, dia seorang yang hebat,” kata Marsch. – REUTERS











