
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim, menegur sikap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sengaja menyebut isu yang jelas melanggar Peraturan Mesyuarat Parlimen.
Menurutnya, Ahli Parlimen Tambun itu dengan sengaja menceritakan secara terbuka ‘kisah pengampunan’ beliau yang menyentuh keputusan institusi kehakiman berkaitan Peraturan 36(8) Peraturan Mesyuarat Parlimen.
“Perkara 36(8) menyebut tentang perkara-perkara yang tidak boleh disebut antara lain tentang sifat-sifat Baginda Yang di-Pertuan Agong, Raja-Raja Melayu serta hakim-hakim di dalam melaksanakan prosedur mahkamah,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan, membangkitkan mengenai isu pengampunan diraja yang diperolehinya sewaktu membentangkan Bajet Mini 2023 dan Rang Undang-Undang (RUU) Kumpulan Wang Disatukan (Perbelanjaan Masuk Akaun) 2022.
Beliau secara terbuka menceritakan secara terperinci kisah pengampunannya bagaimana Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menelefonnya semasa beliau berada di pusat rehabilitasi.
Pada April 1999, Anwar dijatuhi hukuman penjara enam tahun atas tuduhan rasuah manakala pada Ogos 2000, beliau dijatuhkan hukuman penjara sembilan tahun kerana liwat.
Pada tahun 2004, beliau dibebaskan selepas sabitannya dibatalkan. Bagaimanapun, dipenjarakan sekali lagi pada 2015 kerana kesalahan meliwat sebelum menerima pengampunan diraja dan dibebaskan pada 2018 selepas PH memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14). – HARAKAHDAILY 20/12/2022




















