
KOTA BHARU: Jumlah mangsa banjir di Kelantan meningkat kepada 1,943 orang daripada 606 keluarga, sehingga jam 9 pagi ini.
Menurut Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), semua mangsa ditempatkan di tujuh Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Pasir Mas, berbanding semalam hanya enam PPS dibuka.
PPS Sekolah Kebangsaan Kubang Tanjung merupakan yang terbaharu dibuka semalam, menempatkan 39 mangsa banjir di jajahan Pasir Mas.
Keadaan cuaca di Kota Bharu, hari ini, mendung semula selepas agak cerah petang semalam dan malam tadi.
Sementara itu, paras air Sungai Golok di Rantau Panjang masih melebihi paras bahaya dengan bacaan 9.41 meter (m) berbanding normal, 5 m.
Sungai Golok di Kuala Jambu, Tumpat pula melepasi paras amaran, iaitu 2.19 m berbanding paras normal 0.7 m.
Sementara itu, Adun Gual Periok, Dato’ Mohamad Awang, melawat mangsa banjir di PPS Sekolah Kebangsaan Gual Tokdeh, petang semalam.
Ahli Parlimen Rantau Panjang, Dato’ Siti Zailah Mohd Yusoff, pula menyampaikan keperluan harian kepada mangsa-mangsa banjir yang ditempatkan di PPS tersebut, pagi ini. – HARAKAHDAILY 13/12/2022











