Argentina cari jalan sakiti Croatia

Lionel Scaloni ketika sidang media menjelang perlawanan menentang Croatia
- Advertisement -

Argentina percaya mempunyai cara untuk menyakiti lawan di peringkat separuh akhir, Croatia yang juga naib juara Piala Dunia 2018.

- Advertisement -

Jurulatih negara itu, Lionel Scaloni, berkata Croatia adalah bukan pasukan pilihan yang mara sekali lagi ke separuh akhir, tetapi mereka bangkit melalui dua penentuan sepakan penalti mengulangi pencapaian empat tahun lalu.

“Mereka menyusahkan banyak pasukan lain. Saya tidak akan menyebut pemain utama atau kekuatan dan kelemahan mereka, tetapi kami telah menganalisis cara kami boleh menyakiti mereka. Kadang-kadang ia berjaya, kadang-kadang tidak,” kata Scaloni menjelang perlawanan separuh akhir menentang Croatia.

“Kami cuba berikan segalanya di padang. Kadang-kadang nasib boleh menyebelahi anda. Jika kami mempunyai prestasi yang baik, kami akan mempunyai jalan lebih mudah untuk mencapai matlamat kami. Tetapi ini bola sepak, ini sukan, jadi kadang-kadang pasukan terbaik mungkin tidak menang.”

Ketika didesak mengulas pemain tengah veteran Croatia, Luka Modric, yang masih kuat pada usia 37 tahun, katanya ia adalah suatu keseronokan menontonnya bermain.

“Dia adalah teladan bagi kebanyakan kita. Bukan hanya bakatnya, tetapi kelakuannya,” kata Scaloni.

“Apa yang boleh saya katakan ialah kita harus menikmatinya. Jika anda suka bola sepak, anda harus menikmati pemain sepertinya.”

Scaloni berkata, Angel Di Maria dan Rodrigo De Paul akan cergas, manakala kehilangan Marcos Acuna dan Gonzalo Montiel yang digantung tidak akan menjadi masalah.

“Kami mempunyai sistem kami sendiri, gaya kami. Sudah tentu dalam situasi tertentu, kami perlu mengambil kira cara lawan bermain,” kata Scaloni.

“Kami tidak akan mengubah gaya kami di luar sistem dan itulah yang akan kami lakukan. Ketika perlawanan, kami sudah tentu akan membuat keputusan (berdasarkan situasi) dan bangkit menyahut cabaran.”

Scaloni juga ditanya mengenai kritikannya terhadap Argentina selepas “tingkah laku tidak bersemangat kesukanan” pemain mereka berikutan kemenangan penentuan ke atas Belanda.

“Perlawanan sebelum ini dimainkan mengikut cara kami bermain… itulah bola sepak. Kadang-kadang perkara seperti pertengkaran boleh berlaku, tetapi itu sahaja. Itulah sebabnya ada pengadil,” kata Scaloni.

“Kami perlu menamatkan idea ini bahawa Argentina berkelakuan seperti ini. Kami kalah kepada Arab Saudi dan tidak berkata apa-apa.

“Kami memenangi Copa America di Brazil dan pemain seperti (Lionel) Messi, (Leandro) Paredes, Neymar, mempamerkan semangat kesukanan, mereka duduk bersama dalam terowong di Maracana. Saya benar-benar tidak yakin dengan idea tiada semangat kesukanan.”

Messi juga menjadi sasaran kerana kelakuannya selepas perlawanan, tetapi pemain pertahanan Nicolas Tagliafico memuji pengaruh kaptennya terhadap pasukan.

“Dia sentiasa seperti ini, dia adalah kapten dan ketua kami, memberi galakan dan motivasi. Kami mempunyai kelebihan istimewa apabila dia berada di padang,” kata Tagliafico. – REUTERS

- Advertisement -