
ARAU: Pengerusi PERIKATAN NASIONAL Perlis Mohd Shukri Ramli membuang undi jam 9.07 pagi di pusat mengundi Sekolah Kebangsaan Dato’ Ahmad Musa, di sini pagi tadi.
Beliau tiba bersama isteri, Najwa Othman sekitar jam 8 pagi di pusat mengundi berkenaan sambil meninjau dan beramah mesra dengan pengundi sebelum melunaskan tanggungjawab membuang undi.
Beliau yang juga penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sanglang kelihatan ceria menyantuni pengundi di sekolah berkenaan.
Beliau turut berbaris bersama pengundi lain di saluran satu. Sekolah berkenaan mempunyai tiga saluran pengundian.

Kelihatan calon Pakatan Harapan, Dr Ahmad Fadhzil Mohamad turut hadir meninjau pengundi.
Sementara itu pengundi kali pertama, Junaidah Johari, 25 dan Junainah Johari, 30 meluahkan perasaan teruja selepas selesai menjalankan tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia.
Junaidah dari Perak pulang bersama suami pada petang semalam bagi menunaikan tanggungjawab tersebut.
“Alhamdulillah, kami dah selesai menjalankan tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia. Perasaan gembira dan teruja sebab pertama kali membuang undi,” kata Junaidah. – HARAKAHDAILY 19/11/2022




















