
KUALA KRAI: Penduduk di Kuala Krai, terutama di Kampung Pasir Kelang, Kampung Bahagia, Kampung Sungai Taku dan kampung sekitar, bakal menikmati kemudahan jambatan baharu tidak lama lagi.
Ketika ini, penduduk terbabit terpaksa menggunakan perkhidmatan feri dan bot untuk menyeberangi Sungai Kelantan bagi pelbagai urusan seperti membeli barangan keperluan harian di bandar Kuala Krai.
Pembinaan jambatan sepanjang 100 meter berharga kira-kira RM25 juta itu bermula Ogos lalu dengan projek dijangka mengambil masa dua tahun enam bulan untuk disiapkan.
Usaha untuk menjadikan pembinaan jambatan itu suatu realiti adalah hasil perjuangan penyandang Ahli Parlimen Kuala Krai, Abdul Latif Abdul Rahman. Jambatan berkenaan menghubungkan jajahan Kuala Krai dan Tanah Merah.
Abdul Latif berkata, ketika kempen Pilihan Raya Umum (PRU) 2004, pemimpin Umno pernah berjanji akan membina jambatan berkenaan.
Bagaimanapun, katanya janji tersebut sekadar menjadi senjata yang dijaja kepada rakyat oleh pemimpin parti itu.
“Biarpun Umno dan BN memenangi Parlimen Kuala Krai dan Dun Mengkebang menang pada PRU 2004, jambatan yang dijanjikan tidak juga dibina,” katanya ketika ditemui di sini.

Menurutnya, ketika pemerintahan kerajaan Pakatan Harapan (PH) cadangan projek pembinaan jambatan berkenaan dibatalkan.
Abdul Latiff juga berkata, selepas beliau mewakili Parlimen Kuala Krai, isu projek jambatan Pasir Kelang dibangkitkan semula.
“Saya terus memperjuangkan projek tersebut dan sering membangkitkan di Dewan Rakyat dan akhirnya ia menjadi kenyataan sekarang,” ujarnya.
Katanya, selepas PERIKATAN NASIONAL menggantikan PH projek tersebut
diangkat semula dan dilulus Kerajaan Pusat.
Kerja-kerja tanah pembinaan jambatan tersebut bermula awal Ogos lalu. Selain itu, projek pembesaran jambatan di Sungai Durian yang menghubungkan Kuala Krai dan Machang sedang giat dilaksanakan.
Abdul Latiff yang juga Yang Dipertua PAS Kawasan Kuala Krai berkata, pembinaan jambatan berkenaan diharap dapat disiapkan mengikut jadual pada tahun 2024. – HARAKAHDAILY 18/11/2022




















