Era BN, PH banyak projek di Kelantan terhalang

- Advertisement -

PASIR MAS: Limpahan projek ke Kelantan tidak dapat dinafikan lebih lancar ketika era kerajaan PERIKATAN NASIONAL apabila banyak projek yang lama dirancang diluluskan.

- Advertisement -

Sedangkan ketika era pentadbiran kerajaan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) banyak sekatan yang berlaku.

Mantan Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari berkata, pada awal tahun lepas kerajaan Pusat melulus peruntukan sebanyak RM65 juta bagi membina tebatan sungai di Kampung Pohon Celagi.

Katanya, projek itu perlu dilaksanakan segera bagi mengelakkan kesan runtuhan tebing Sungai Kelantan lebih meluas sehingga menjejaskan lebih banyak rumah penduduk berdekatan.

“Projek itu mendapat kelulusan segera Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) yang diterajui Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man.

“Projek tebatan sungai terbabit sekarang sudah siap 97 peratus dan akan diserahkan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) dalam masa terdekat,” katanya yang juga anak jati Kampung Padang Embun, Tendong.

Selain itu beliau memperjuangkan projek pembinaan Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Golok (Kesban) yang kini juga giat dijalankan.

Projek PLSB bagi menghalang limpahan air Sungai Golok melimpah ke penempatan penduduk di Meranti dan kawasan sekitarnya setiap kali musim tengkujuh.

Ahmad Fadhli yang juga calon PERIKATAN NASIONAL (PN) parlimen Pasir Mas berkata, banyak kemudahan untuk rakyat dilaksanakan ketika era kerajaan PN.

“Apabila ramai menteri dan timbalan menteri dalam kerajaan PN, sudah tentu sekatan peruntukan yang pernah berlaku ketika era BN dan PH dapat diatasi,” ujarnya.

Usahawan tani

Beliau juga merancang menambah baik peluang kerjaya dalam bidang keusahawanan bagi memproses produk hiliran berasaskan agro tani bagi membantu anak-anak muda di Pasir Mas.

Kata beliau usaha ke arah itu dimulakan dengan membantu komuniti NGO membangunkan rumah cendawan pintar berteknologi moden di DUN Meranti.

Selain itu dana pembelian jentera pertanian di DUN Tendong juga sudah banyak disalurkan.

“Begitu juga sumbangan pembelian peralatan memproses makanan sejuk beku di DUN Pengkalan Pasir. Kita akan intergrasikan produk yang mereka hasil untuk dijual secara pukal kepada usahawan belia,” katanya.

Kata beliau juga kerajaan negeri merancang menjadikan Pasir Mas sebagai pengeluar produk makanan melalui industri kecil sederhana (IKS).

Katanya juga memandangkan terdapat tanah luas milik Majlis Amanah Rakyat (Mara) di Pasir Mas ia begitu sesuai digunakan untuk pembangunan institusi pendidikan tinggi.

Bercakap mengenai Pasir Mas sebagai lokasi tumpuan pelancong, Ahmad Fadhli berkata, usaha membangunkan infrastruktur kebudayaan dan rekreasi di tengah-tengah bandar Pasir Mas turut irancang.

Antaranya membina jajaran pelancongan Menyusuri Lorong Kenangan (memory lane) bermula dari Stesen KTM ke Dataran Air Muleh.

Ia berpotensi untuk ditambah nilai menjadi pusat komersial berorientasi budaya apabila dibina prasarana kesenian bersambung dengan Plaza Serakai Mas dan Dewan Pasir Mas serta Stadium Mini.

“Kita juga merancang untuk mengembalikan nostalgia menaiki keretapi dari Pasir Mas ke Ulu Kelantan atau menyewa perahu penambang di Pengkalan Feri.

“Selain itu membina mercu tanda ikonik di lokasi asal-usul penemuan pasir emas oleh penduduk pada zaman lampau. Ekopelancongan pesisir sungai juga berpotensi diketengahkan,” ujarnya.

Beliau turut merancang menaik taraf litar bagi peminat motosikal lasak di Kampung Paloh, Tendong.

Pasir Mas juga muncul sebagai hab pendidikan memandangkan terdapat institusi pengajian pondok tradisional termasuk di Lubuk Tapak, Meranti, Gelang Mas dan Bunut Susu.

Bagaimanapun kata beliau usaha itu hanya akan menjadi kenyataan dengan sokongan padu pengundi pengundi esok bagi mengekalkan parlimen Pasir Mas di bawah PAS melalui PERIKATAN NASIONAL. – HARAKAHDAILY 18/11/2022

- Advertisement -