
KUANTAN: Seluruh Pahang akan menyaksikan gelombang konvoi PERIKATAN NASIONAL (PN), khususnya oleh anak-anak muda yang mendukung PN.
Pengerusi PERIKATAN NASIONAL Negeri Pahang, Dato’ Seri Saifuddin Abdullah berkata, gelombang itu berlaku sekiranya PN dibenar menganjurkan konvoi.
“Kalau kami dibenarkan anjurkan konvoi, saya cukup yakin seluruh Pahang akan saksikan gelombang konvoi PN, khususnya oleh anak-anak muda yang mendukung PN,” ujarnya.
Beliau menyatakan demikian pada sidang media di Bilik Gerakan Utama PERIKATAN NASIONAL P.082 Indera Mahkota di sini, hari ini. Hadir sama ialah Pesuruhjaya PAS negeri, Ustaz Abdul Jabar dan Pengerusi Gerakan negeri, Datuk Ranndy Yap Kim Heng.
Sebenarnya, kata beliau banyak kawasan Parlimen di mana jentera PN ingin menganjurkan konvoi yang biasanya melibatkan penyertaan beratus orang.
“Sebagaimana tuan tuan sedia maklum, kalau PN menganjurkan konvoi, motosikal sahaja beratus-ratus dan kereta juga begitu banyak.
“Tetapi kami menghormati undang-undang, peraturan dan nasihat pihak polis, jadi kita tidak melaksanakan itu,” katanya yang bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bagi mempertahankan kerusi Parlimen Indera Mahkota yang dimenangi PRU14 lalu.
Berikut ialah petikan jawaban beliau kepada soalan yang dikemukakan wartawan pada sidang media berkenaan. Pihak media turut mengabadikan foto bersama beliau. (Foto atas)
Jumlah kerusi
Saya tak nak buat macam Dato’ Seri Anwar Ibrahim. Kita jawab dengan berhemah. Kita tahu dalam PRU14, PAS yang bertanding solo, ada 11 kerusi yang mereka dapat nombor dua, iaitu kalah tipis sahaja. Itu adalah antara kerusi yang kami maksudkan, di samping itu ada juga beberapa kerusi yang ditandingi Bersatu dan Gerakan yang menunjukkan lonjakan yang sangat menggalakkan.
Sebab itu arahan kami kepada jentera parti hari ini dan esok, kita usahakan segala bentuk inisiatif dan aktiviti yang boleh menarik minat dan imaginasi para pengundi.
Sebenarnya banyak kawasan Parlimen, jentera kami ingin menganjurkan konvoi, dan konvoi ini beratus orang. Sebagaimana tuan tuan sedia maklum, kalau PN menganjurkan konvoi, motosikal sahaja beratus-ratus dan kereta juga begitu banyak. Tetapi kami menghormati undang-undang, peraturan dan nasihat pihak polis, jadi kita tidak melaksanakan itu.
Kalau kami dibenarkan anjurkan konvoi, saya cukup yakin seluruh Pahang akan saksikan gelombang konvoi PN, khususnya oleh anak-anak muda yang mendukung PN.
PAS tembusi kawasan Felda
Sebenarnya beberapa kawasan Felda telahpun ditembusi oleh PAS dalam PRU14, dan dalam kempen pada kali ini, saya pun melihat beberapa kawasan Felda, sebab saya turun juga ke sana, dan saya mendapat laporan, banyak kawasan Felda yang PDM-PDM PN mendapat sambutan menggalakkan.
Masyarakat peneroka sangat berterima kasih kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin semasa beliau menjadi PM, yang berjaya membantu masyarakat Felda menyelesaikan masalah hutang yang mereka tangguh bertahun-tahun di bawah kerajaan BN, dan tidak juga dapat diselesaikan oleh kerajaan PH.
Saya juga mendapat maklumat bahawa ramai di kalangan anggota perkhidmatan awam, guru-guru, golongan profesional dan sebagainya, mereka tidak boleh berkempen, tetapi dalam pertemuan sama ada dalam kumpulan kecil atau seorang, mereka sangat jelas menyatakan yang mereka sudah muak dengan kerajaan yang kotor dan kerajaan yang tidak membantu masyarakat peniaga dan sebagainya.
Cukai pintu 2,000 peratus
Golongan peniaga di Pahang mahu supaya ada pendekatan baru dari segi pembangunan ekonomi, ini kami jelaskan dalam manifesto Pahang. Dan mereka yang terlibat dengan perniagaan sangat marah kerana kerajaan BN menaikkan cukai pintu dan taksiran sebanyak 2,000 peratus. Bukan 20 atau 200 peratus, empat tahun lalu, naikkan sebanyak 2,000 peratus, kemudian diberikan atas budi bicara setiap tahun diskaun 80 peratus.
Tetapi hakikatnya masih lagi naik 400 peratus. Jadi ini menyukarkan golongan peniaga, dan antara perkara yang akan menjadi prioritI kami di samping yang lain adalah reviu tentang cukai pintu dan cukai eksais.
Tukar kawasan Parlimen
Ada orang dia bertanding setiap kali pilihan raya, dia tukar kawasan Parlimen, itu macam mana di nak serve? Bermakna dia langsung tak serve, Anwar Ibrahim sekejap bertanding di A, sekejap bertanding di B, sekejap bertanding di D.
Jadi itu persoalan, ada beberapa calon DAP pun bertanding bertukar tempat. Jadi saya nak tanya diorang ini serve atau tidak. Saya fikir mereka langsung tak serve. Sebab itu tak berani untuk bertanding di tempat yang sama.
Simple majoriti
Kita ada 42 kerusi DUN, simple majoriti, dapat kami raih pada 19 November dan mungkin lebih daripada itu.
Pengundi ini dia ada profile yang pelbagai, pada kami sokongan yang boleh kami dapat berdasarkan kempen selama ini dari semua pihak, daripada warga emas, kepada golongan 40 hingga 60, golongan 20 hingga 40, dan termasuk pengundi dari 18 hingga 20 tahun, iaitu pengundi pertama kali dan juga mereka yang sebelum ini tidak pernah mengundi. Tetapi oleh kerana ada pendaftaran secara automatik, mereka sekarang sudah mengundi, dan ada kesedaran untuk keluar mengundi.
Calon MB Pahang
Kita akan umum apabila sampai masanya, saya tidak boleh mendahului Majlis Tertinggi PN.
Logiknya bukan saya, logiknya parti mana yang menang paling banyak kerusi itu akan diberikan keutamaan untuk membentuk kerajaan, dan tunggulah keputusan nanti.
Kami ada lebih dari seorang calon jika difikirkan. Jadi kami tiada masalah hendak memilih calon kerana semua calon kami bersih dan berkaliber.
Poll propaganda
Ada setengah poll yang kita lihat tular di media sosial itu lebih merupakan propaganda dari pihak-pihak tertentu, kerana angka yang keluar itu, banyak sangat sumber yang dipetik.
Sesetengah sumber itu kita tahu yang mereka lazimnya tak kongsi maklumat mereka, jadi kalau kita tahu ada satu dua sumber yang sejarahnya dia tak berkongsi maklumat dengan orang, tiba-tiba tular, jadi itu pada saya ialah propaganda. – HARAKAHDAILY 17/11/2022




















