Gelombang PERIKATAN NASIONAL menjalar ke Melaka

- Advertisement -

TANGGA BATU: Gelombang PERIKATAN NASIONAL (PN) bukan sahaja dikesan berlaku di Pantai Timur, utara dan selatan tanah air, malah ia juga mulai kelihatan di Melaka.

- Advertisement -

Timbalan Pesuruhjaya PAS Melaka, Bakri Jamaluddin berkata, gelombang yang berlaku kalau kena caranya akan bertukar menjadi tsunami politik.

“Alhamdulillah, benarlah seperti apa yang dikatakan oleh Dr Muhd Khalil tadi. Kita melihat suatu gelombang.

“Ia bermula dengan riak, dan akan menjadi gelombang. Dan kalau kita kerja kuat sikit lagi, ia akan jadi tsunami yang akan menenggelamkan Barisan Nasional dan juga Pakatan Harapan (PH),” katanya pada program ceramah di Taman Seri Tanjong, Tanjung Kling, di sini malam tadi.

Hadir sama Ahli Jawatankuasa PAS Pusat Dr Muhd Khalil Abdul Hadi; calon PN Jasin Tuan Guru Zulkifli Ismail dan Ketua Penerangan Bersatu Melaka Dato’ Dr Baba Md Deni.

Bakri yang juga calon PERIKATAN NASIONAL Parlimen Tangga Batu berkata,
jentera PN perlu bekerja keras lagi bagi memastikan tsunami politik benar-benar berlaku.

“Kita bersyukur hampir lebih lima hari saya berkempen di pasar-pasar malam, saya pergi ke masjid-masjid, tepi pantai dan kedai makan didapati penerimaan rakyat begitu positif,” ujarnya.

Beliau yang juga pernah menjadi calon di DUN Klebang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka tahun lepas berkata, sambutan yang diterima rakyat kali ini sangat luar biasa.

Katanya ia jauh berbeza berbanding semasa PRN November tahun lepas.

“Walau pun poster dan billboard gambar calon belum banyak, namun masyarakat sudah mengenali kami dan mereka sering menyapa setiap kali saya berada di khalayak ramai,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 11/11/2022

- Advertisement -